PIALA DUNIA | Menjelang perlawanan getir di Rusia pada saingan Piala Dunia tidak lama lagi salah seorang pemain England meminta penyokong skuad The Three Lions itu memberikan "kasih sayang" kepada mereka.

Bagi Raheem Sterling sokongan yang diberikan kepada skuad kebangsaan England ketika ini tidak bersesuaian dengan situasi yang sedang dihadapi.

"Kadang-kadang saya rasa terlalu banyak unsur negatif diberikan kepada kami.

"Saya teringin mendengar sedikit pandangan yang positif supaya semua pemain tahu semua orang di England ada di belakang mereka," katanya kepada BBC Radio.

Piala Dunia edisi ke-21 ini akan berlangsung selama kira-kira sebulan di Rusia, mulai 14 Jun ini.

Tuan rumah akan melayan cabaran wakil Asia, Arab Saudi, sebagai perlawanan pembukaan.

England diundi dalam kumpulan G bersama Belgium, Panama dan Tunisia. Mereka akan turun buat kali pertama pada 24 Jun menentang Panama.

Jumaat lalu England mengalahkan Belanda 1-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa. Selepas ini ada tiga lagi perlawanan pemanas badan sebelum mereka ke Rusian.

Untuk rekod England berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang pusingan kelayakan Piala Dunia, dengan mencatat lapan kemenangan.

Namun persembahan mereka akhir-akhir ini tidak menggembirakan penyokong skuad terbabit.

Lima perlawanan terakhir, England tidak memboloskan sebarang gol, namun pada masa sama hanya berjaya menyumbat gol sebanyak tiga kali.


Baca Fifa terbit buku panduan waktu puasa, solat di Rusia


Kata Sterling jika penyokong England mahu skuad berkenaan menunjukkan prestasi cemerlang seperti diidamkan, peminat mesti memberikan aura positif kepada mereka.

"Buat pemain berhati lapang dan tenang semasa ke Rusia dan percayalah, anda akan melihat skuad yang lebih baik nanti.

"Saya fikir jika kita semua memberi sokongan tidak berbelah bagi, beri kasih sayang anda, anda akan terkejut kerana ia sangat membantu kami," katanya.

Mengenai kritikan yang dilemparkan kepada skuad anak didik Gareth Southgate itu Sterling berkata ada ketikanya peminat mengadili mereka terlalu awal.