Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
FAM terima peletakan jawatan TMJ sebulat suara
Diterbitkan:  Apr 2, 2018 12:51 PM
Dikemaskini: 5:45 AM

dikemaskini Mesyuarat exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebulat suara menerima peletakan jawatan presiden Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Timbalan Presiden Datuk Wira Yusoff Mahadi dilantik sebagai pemangku presiden seperti yang disyorkan oleh Tunku Ismail sebelum ini, lapor Harian Metro.

“Semua berjalan lancar meskipun pada awalnya ada juga kemungkinan wujudnya perebutan posisi itu antara Yusoff dan seorang lagi Timbalan Presiden, Datuk Seri Subahan Kamal,” menurut akhbar itu lagi.

Yusoff, timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) akan menjadi pemangku sehingga pemilihan baru 14 Julai depan.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan akan bertanding merebut jawatan presiden selepas mendapat sokongan penuh exco dan TMJ.

Yusoff sebelum ini dilaporkan telah menjangkakan keputusan mesyuarat itu.

Beliau berkata Tunku Mahkota Johor telah memberikan alasannya untuk berundur dan ia harus dihormati, lapor The Star.

Facebook FAM berkata secara teknikalnya TMJ masih presiden FAM sehingga mesyuarat bermula jam 11 pagi tadi memutuskan isu itu.

FAM melalui media sosialnya itu turut mengucapkan tahniah kepada TMJ susulan kemenangan besar Harimau Malaysia 7-0 mengalahkan Bhutan malam tadi.

Kemenangan itu sekali gus menamatkan kemarau kemenangan pasukan kebangsaan yang gagal mencapai kemenangan untuk 10 perlawanan berturut-turut.

Malaysia malah sebelum ini diikat seri dengan pasukan semi pro yang rankingnya lebih rendah Mongolia.

TMJ memohon maaf kerana pasukan negara tidak pernah menang sejak setahun beliau menjadi presiden.

Sebelum ini masih tidak jelas sama ada kemenangan besar Malaysia malam tadi dapat mengubah keputusan FAM.

TMJ semasa mengumumkan peletakan jawatannya minggu lalu telah mencadangkan Yusoff menjadi pemangku presiden.

Beliau melihat Setiausaha Agung Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai individu paling layak mengetuai FAM selepas ketiadaannya.


Nota: Malaysiakini mengemas kini laporan ini kerana terdapat perkembangan terbaru bagi menggambarkan keadaan sebenar kepada pembaca. - Pengarang


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS