Dua pemain muda Malaysia dipilih mewakili negara untuk Projek Sosial Kanak-Kanak Antarabangsa Football For Friendship (F4F) 2018 di Moscow Russia.

Program bersempena Piala Dunia FIFA 2018 itu akan dikelola oleh PJSC Gazprom dengan sokongan penuh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan akan berlangsung dari 8 hingga 15 Jun depan.

Imran Zakaria, 16 dipilih sebagai jurulatih muda bagi melatih salah satu daripada 32 pasukan campuran yang dibentuk dalam kalangan pemain berusia 12 tahun dari seluruh dunia.

Manakala seorang lagi, Lauren Chow akan bertindak sebagai wartawan muda bagi membuat liputan sepanjang program berlangsung.

Memasuki edisi keenam, ini adalah kali pertama Malaysia dijemput bagi menghantar wakil ke program F4F, lapor Berita Harian.

Lebih menarik kedua-dua wakil berkenaan turut berpeluang terbabit dalam upacara perasmian Piala Dunia FIFA 2018 dan menyaksikan perlawanan sulung antara Russia menentang Arab Saudi di Stadium Luzhniki pada 14 Jun.

Pengerusi Lembaga Pengarah PJSC Gazprom, Viktor Zubkov dalam kenyataan berkata ini adalah kali pertama atlet muda dari seluruh dunia bersama dalam satu padang bola sepak.

"Kita mahu menyatukan masyarakat dunia di sebalik prinsip kesamaan dan menghormati antara satu sama lain.

"Projek ini adalah elemen penting dalam proses itu dan memberi peluang kepada semua," kata Zubkov.

Menerusi kenyataan sama, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menzahirkan ucapan terima kasih kepada FIFA dan Gazprom kerana menjemput wakil Malaysia menyertai program berkenaan.

Menurutnya, ini adalah kali pertama Malaysia menghantar wakil untuk mengambil bahagian dalam program seumpama itu.

"Kami berharap jurulatih muda yang dipilih akan mendapat manfaat bermakna sepanjang program dan akan membawa pulang pengetahuan serta pengalaman berharga ke negara ini," kata Hamidin.