Atlet angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin mengikut jejak rakan sepasukannya meraih pingat emas dalam acara 62kg lelaki selepas melakukan angkatan seberat 288kg pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, semalam.

Muhamad Aznil, 23, mengakui kejayaan sahabatnya, Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad, menghadiahkan kilauan emas pertama kepada negara, semalam, telah menyemarakkan lagi semangatnya untuk membuat angkatan 126kg bagi acara snatch dan 162 bagi acara clean & jerk.

Beliau bukan sahaja melepasi sasaran peribadinya yang hanya meletakkan harapan untuk meraih pingat perak, atlet berasal dari Kedah itu juga turut memperbaharui rekod kebangsaan miliknya iaitu 279kg, yang dilakukan ketika Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

“Sudah semestinya saya bangga dan terlalu gembira kerana kejayaan ini telah melepasi sasaran peribadi saya. Tidak dinafikan kejayaan Azroy Hazal Wafie telah membakar semangat untuk beri aksi terbaik.

“Kini saya ada sasaran baharu iaitu untuk cipta sejarah di Sukan Asia pula namun masih terlalu awal untuk diumumkan sekarang,” katanya ketika ditemui di Carrara Sports and Leisure Centre.

Muhamad Aznil yang baru sahaja menyertai Program Podium di bawah kendalian Institut Sukan Negara (ISN) sejak Januari tahun ini, mendedikasikan kejayaannya itu kepada seluruh rakyat Malaysia.

Pingat perak acara itu menjadi milik atlet Papua New Guinea, Morea Baru yang memberi saingan sengit kepada Muhamad Aznil, selepas beliau membuat angkatan seberat 286kg manakala pingat gangsa pula diraih atlet Pakistan, Talha Talib (283kg).

Sementara itu, jurulatih angkat berat negara, Wang Zhi Quan berkata beliau memang menjangka Muhamad Aznil bakal membuat kejutan berdasarkan latihan yang dilakukan di Hanoi, Vietnam, bulan lepas.

Katanya, ketika sesi latihan di Hanoi, Muhamad Aznil telah menunjukkan komitmen penuh apabila berjaya membuat angkatan seberat 291kg.

“Saya yakin beliau boleh raih lebih daripada pingat gangsa dan hari ini dia telah buktikan. Beliau seorang atlet yang rajin dan sangat komited dalam sukan ini,” katanya.

Hari ini, atlet Malaysia akan meneruskan pemburuan pingat dan tumpuan pastinya terarah kepada Azizulhasni serta seorang lagi badang negara, Muhammad Erry Hidayat dalam kategori 69kg.

Kem skuasy yang diketuai Datuk Nicol David pula menyaksikan enam daripada tujuh pemain yang turun beraksi hari ini mara ke peringkat seterusnya.

Selain Nicol, dua lagi pemain perseorangan wanita S. Sivasangari dan Aifa Azman turut mara manakala dalam acara perseorangan lelaki hanya Ng Eain Yow terkandas di pusingan pertama ekoran kejang ketika di set penentuan menentang Rex Hedrick dari Australia.

Skuad badminton negara diketuai Datuk Lee Chong Wei membuka gelanggang dengan kemenangan mudah 5-0 ke atas Ghana dalam acara berpasukan.

Sementara itu, di Velodrom Anna Maeres, skuad berbasikal trek negara gagal menyerlah apabila terkandas di pusingan kelayakan manakala atlet berbasikal para Muhamad Afiq Afify Rizan sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keempat acara tandem (B) 1km ujian masa.

Pasukan pecut lelaki negara yang pada awalnya berpeluang merebut pingat gangsa bagaimanapun terpaksa akur dengan catatan masa yang dibuat oleh tuan rumah selepas melakukan perlumbaan semula yang menyebabkan pelumba negara tersingkir daripada pusingan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Khabar duka juga diperolehi daripada kem berbasikal negara apabila jurulatih kebangsaan John Beasley memaklumkan Mohd Azizulhasni Awang hanya akan beraksi dalam acara keirin ekoran keadaan kesihatan yang kurang memuaskan.

Menurutnya, bekas juara dunia keirin itu terpaksa menarik diri daripada acara pecut dan hanya turun beraksi dalam acara keirin serta berharap pelumba yang digelar ‘The Pocket Rocketman’ itu mampu melakukan sesuatu hari ini.

- Bernama