Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Harimau Selatan tewas kepada Harimau Kemayoran

Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) memilih jalan sukar setelah tewas 0-4 kepada wakil Indonesia, Persija Jakarta pada aksi kelima Kumpulan H Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, malam ini.

Kemenangan itu menyaksikan Persija Jakarta melonjak ke tangga teratas Kumpulan H dengan berkongsi 10 mata bersama wakil Vietnam, Song Lam Nghe An yang mencatat kemenangan di laman sendiri dalam satu lagi aksi kumpulan berkenaan.

JDT pula turun satu anak tangga ke kedudukan ketiga kumpulan itu dan perlu menewaskan Song Lam Nghe An dengan jumlah jaringan yang besar di laman sendiri pada 24 April ini, sekiranya berhasrat meneruskan kemaraan ke pusingan seterusnya pada saingan Piala AFC musim ini.

Pada aksi di Jakarta, penyerang import dari Croatia, Marko Simic muncul wira pasukan yang mendapat jolokan ‘Harimau Kemayoran’ apabila meledak empat gol.

Simic membuka jaringan seawal minit ketujuh apabila menanduk masuk hantaran silang daripada rakan sepasukan sebelum beliau menggandakan jaringan, selang lima minit setelah menanduk masuk hasil sepakan percuma.

Bekas penyerang Melaka itu melakar jaringan hatrik pada minit ke-19 setelah menampan masuk hantaran silang daripada rakan sepasukan sebelum mengesahkan kemenangan bergaya Persija Jakarta menerusi sepakan penalti pada minit ke-85.

JDT sebelum itu terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah pemain pertahanan, Adam Nor Azlin dilayangkan kad merah oleh pengadil, Sivakorn Pu-udom dari Thailand setelah mengutip kad kuning kedua pada minit ke-78.

Terdahulu, Song Lam Nghe An menang tipis 2-1 ke atas wakil Singapura, Tampines Rovers pada aksi di Stadium Vinh, Vietnam.

Mengulas mengenai kekalahan itu, ketua jurulatih JDT Raul Longhi ternyata kecewa dengan keputusan tersebut, sambil menyatakan ia disebabkan terpaksa bergilir menggunakan pemain sedia ada ekoran jadual padat bagi mengharungi Liga Malaysia dan Piala AFC.

Bagaimanapun, beliau berkata pasukan berkenaan kini akan memberi tumpuan terhadap perlawanan Liga Super menentang PKNS FC, dan juga suku akhir kedua Piala FA berdepan Pahang.

“Pada masa ini, kita tidak mempunyai pilihan. Ini barisan pemain yang kita perlu senaraikan. Kita perlu menggunakan pemain sedia ada dan bergilir-gilir menggunakan pemain ini. Kita berharap pemain baharu yang menandatangani kontrak pada Mei ini dapat membantu kita beraksi dengan lebih baik.

“Ini kerana jika kita memenangi saingan liga dan Piala FA, kita akan beraksi dalam Liga Juara-juara Asia,” kata Longhi seperti dipetik dalam laman facebook Johor Southern Tigers.

Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS