Selepas enam hari menanti, kontinjen negara akhirnya mengukir senyum apabila sebutir pingat emas bersinar di kolam terjun dan “Negaraku” berkumandang di Optus Aquatic Centre semalam.
Terima kasih dan tahniah buat Cheong Jun Hoong-Pandelela Rinong yang menyumbang emas acara 10 meter platform seirama selepas mengumpul 328.08 mata.
Gandingan Jun Hoong-Pandelela mempamerkan aksi cemerlang dengan mengungguli saingan dari terjunan pertama hingga terjunan kelima mendahului penerjun Kanada Meaghan Benfeito-Caeli McKay yang meraih perak dengan 312.12 mata.
Pujian juga harus diberikan kepada satu lagi pasangan penerjun wanita Leong Mun Yee-Nur Dhabitah Sabri yang menyumbang dua pingat gangsa, masing-masing dalam acara 3m papan anjal seirama dan 10m platform seirama.
Selain berpesta pingat di kolam renang, turut menceriakan kontinjen negara adalah barisan gimnas negara - Amy Kwan Dict Weng, Koi Sie Yan dan Izzah Amzan yang menghadiahkan pingat perak dalam acara berpasukan selepas mengumpul 127.950 mata.
Gimnas negara berjaya menewaskan pasukan tuan rumah, Australia yang mengutip 120.800 mata untuk pingat gangsa.
Dalam pada itu, jaguh lompat tinggi Nauraj Singh Randhawa dan Lee Hup Wei gagal menyumbang pingat dalam acara lompat tinggi akhir.
Nauraj yang disebut-sebut bakal mencipta sejarah dalam lembaran olahraga negara, sekadar menamatkan saingan di tempat kesepuluh selepas gagal menyempurnakan lompatan 2.21m manakala Hup Wei di kedudukan kelapan selepas gagal membuat lompatan 2.24m.
Hari ini, Jun Hoong dan Pandelela akan menyambung pemburuan pingat emas dalam acara 10m platform individu wanita bersama penerjun pelapis Kimberly Bong, manakala gimnas negara akan memburu pingat dalam acara individu.
Selain itu, skuad boling padang pula akan beraksi dalam saingan suku akhir acara perseorangan lelaki menyaksikan Muhammad Saufi Rusli berdepan Darren Burnett dari Scotland dan Siti Zalina Ahmad berpasangan Emma Firyana Saroji menetang Lovely Choubey dan Rupa Rani Tirkey dari India dalam acara berpasangan wanita.
Atlet olahraga juga akan kembali beraksi dalam saingan kelayakan iaitu Muhammad Irfan Shamsuddin dalam acara lempar cakera dan pembawa bendera kontinjen Muhammad Hakimi Ismail dalam acara lompat kijang.
Turut beraksi atlet lompat bergalah negara Iskandar Alwi dalam acara final.
- Bernama
