Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Dua emas badminton lengkap sasaran kontinjen negara
Diterbitkan:  Apr 16, 2018 5:56 AM
Dikemaskini: Apr 16, 2018 3:06 AM

Kontinjen Malaysia menutup kempen Sukan Komanwel 2018 di kedudukan ke-12 dengan meraih tujuh pingat emas, lima perak dan 12 gangsa.

Walaupun gagal menempatkan diri dalam kelompok 10 teratas, pencapaian kontinjen negara itu berjaya melepasi kutipan pingat edisi 2014 di Glasgow, Scotland dengan enam emas, tujuh perak dan enam gangsa.

Badminton menjadi penyelamat apabila menyumbang dua pingat emas, masing-masing dalam acara perseorangan lelaki dan beregu wanita pada hari terakhir temasya sukan itu, semalam.

Pujian harus diberikan khususnya buat Datuk Lee Chong Wei yang mengetepikan faktor usianya demi mengerah kudrat untuk menyumbang pingat emas yang diharapkan kontinjen negara.

Malah, kejayaan hari ini juga adalah kemenangan paling manis bagi atlet berusia 35 tahun itu untuk penampilan terakhirnya di temasya Sukan Komanwel.

Pada aksi final, Chong Wei menewaskan pemain di ranking pertama dunia K.Srikanth dari India dengan 19-21, 21-14, 21-14.

Bagi beregu wanita pula, pujian juga perlu diberikan kerana pasangan Chow Mei Kuan-Vivian Hoo baharu digandingkan pada Februari lepas, selepas Woon Khe Wei mengalami kecederaan.

Malah Mei Kuan yang pertama kali beraksi di Sukan Komanwel berjaya mempamerkan aksi cemerlang apabila bersama-sama pasangannya itu menundukkan gandingan England Lauren Smith-Sarah Walker 21-12, 21-12.

Badminton menutup tirai di temasya sukan itu dengan dua pingat emas, satu perak serta dua gangsa, dan ia tidak menepati sasaran tiga emas yang ditetapkan sebelum ini.

Pingat perak diperoleh melalui acara berpasukan campuran manakala gangsa menerusi beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

- Bernama

Lihat Komen
ADS