Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Safiq Rahim: JDT tak boleh kalah lawan Vietnam

Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) berharap beraksi di laman sendiri akan memberi mereka kelebihan dari segi taktikal dan semangat apabila berdepan kelab dari Vietnam, Song Lam Nghe An FC dalam kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos di Larkin, esok.

Ketua pasukan Safiq Rahim berkata JDT tidak boleh tewas dalam perlawanan tersebut kerana pasukan berkenaan tekad untuk mara ke saingan seterusnya pada kejohanan berkenaan.

JDT kini menduduki tempat ketiga Kumpulan H dengan tujuh mata, kurang tiga mata daripada dua pasukan teratas, Persija Jakarta dari Indonesia dan Song Lam Nghe An FC, yang masing-masing mengumpul 10 mata, dengan berbaki satu perlawanan.

“Kita beraksi di gelanggang sendiri dan di hadapan penyokong setia JDT, maka kita mempunyai kelebihan dan kita tidak mahu mengecewakan mereka. Paling penting pemain perlu fokus dan mematuhi strategi taktikal yang direncanakan jurulatih.

“Jika kita patuh arahan, tiada yang mustahil untuk kita mendapat keputusan baik. Persiapan kita juga berjalan mengikut perancangan dan kita perlu menang bukan sahaja untuk pasukan dan menaikkan semangat pemain, tetapi lebih penting memberi keyakinan kepada penyokong setia kita,” katanya pada sidang media di Johor Bahru hari ini.

Safiq berkata dalam bola sepak segalanya boleh berlaku, namun yang lebih penting pemain perlu menampilkan aksi terbaik, sambil berharap perlawanan esok akan memihak kepada JDT.

“Kita tidak boleh memandang rendah lawan kita kerana macam-macam boleh terjadi dalam bola sepak. Kita mungkin menang 6-0, 1-0, seri atau lebih buruk, kalah perlawanan itu, maka perkara yang perlu kita lakukan adalah mempamerkan aksi terbaik,” katanya.

Sementara itu, Ketua jurulatih JDT Raul Longhi berkata beliau akan melakukan pertukaran pemain dalam kesebelasan utama pada perlawanan esok kerana pasukan berkenaan juga sedang melakukan persiapan berdepan Kelantan dalam saingan Liga Super, Sabtu ini.

“Kita perlu merehatkan beberapa pemain utama untuk berdepan Kelantan pada 28 April ini kerana perlawanan itu juga sangat penting,” katanya.

Beliau berkata berikutan kekalahan kepada Pahang dalam saingan Piala FA pada Jumaat lepas, pasukan berkenaan kini berusaha keras memperbaiki prestasi mereka untuk aksi seterusnya.

“Apa pun, kemenangan ke atas Song Lam Nghe An FC esok akan menaikkan semangat pasukan,” katanya, sambil mengakui pasukan lawan mempunyai trek rekod yang baik.


-Bernama

Lihat Komen
ADS