Hujung minggu lalu Mohamed Salah dinamakan sebagai pemain terbaik tahun ini oleh Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA).

Beberapa hari kemudian - atau lebih tepatnya, awal pagi tadi - dia mengukuhkan imejnya sebagai salah seorang pemain terbaik di Eropah.

Semasa bertemu Roma di Anfield itu dia bukan saja membantu rakannya melakarkan gol, malah dua daripada lima jaringan itu adalah hasil dirinya sendiri.

Namun di sebalik kegembiraan memuncak penyokong The Kop itu Mo Salah - begitu dia lebih dikenali ramai - tidak meraikan jaringan yang dibuatnya.

Ia adalah sebagai tanda hormat Salah, 25, kepada kelab yang pernah menjadi tempat dia mencurahkan bakat. Roma adalah tempat dia bermukim sebelum berhijrah ke Liverpool pada tahun lalu.

Perlawanan malam tadi juga menandakan Salah adalah penjaring terbanyak dalam semua kejuaraan Eropah - dengan 43 gol - mengatasi Cristiano Ronaldo yang mencatat 42 gol.

Lionel Messi pula hanya 40 gol.

Tiada masalah di Sepanyol

Dengan reputasi baik sama ada di dalam atau luar padang itu ada nasihat daripada pemain yang lebih senior daripadanya.

Kata Ahmed Hossam Hussein Abdelhamid - atau Mido - Salah mesti menerima serta-merta sebarang tawaran jika ada daripada kelab Real Madrid atau Barcelona.

Kata Mido tanpa mengabaikan kemampuan Liverpool dan peminat mereka, Salah tidak perlu berfikir panjang untuk melebarkan langkahnya ke La Liga.

"Dia begitu hebat bersama Liverpool sepanjang musim ini dan mungkin sangat bermanfaat di La Liga terutama ketika Real Madrid berdepan masalah prestasi daripada Gareth Bale dan Karim Benzema.

"Dengan kualiti yang ada pada Salah, cabaran La Liga bukan masalah buatnya," kata pemain yang pernah beraksi bersama beberapa kelab EPL, termasuk Tottenham Hotspur dan West Ham itu.

Mido, 35, kini menjadi pengurus kelab Wadi Degla yang bersaing di Liga Perdana Mesir.

Peranan Salah bersama Liverpool memang ketara. Sumbangannya awal pagi tadi membolehkan kelab berkenaan berpeluang cerah melangkah ke aksi final Liga Juara-juara buat kali pertama selepas 11 tahun.


Baca Peminat Liverpool 'nak jadi Muslim' kerana Salah


Real Madrid dilaporkan sangat berminat mendapatkan Salah sebagai langkah mengukuhkan kembali kedudukan skuad dipenuhi bintang antarabangsa itu, sama ada di peringkat domestik atau antarabangsa.

Real Madrid kini berada di tangga ketiga liga dan dijarakkan dengan 15 mata daripada pendahulu, Barcelona. Mereka mengumpul 68 mata daripada 33 perlawanan.

Tempat kedua pula dikuasai Atelico Madrid yang mengumpul 72 mata daripada 34 perlawanan.