Atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa hari ini menafikan laporan berita yang merujuknya sebagai duta syarikat Universal Fitness & Leisure (UFL) Sdn Bhd.

Pemegang rekod kebangsaan itu, sebaliknya, mendakwa dia hanya menerima insentif sebagai tanda penghargaan berupa seutas jam jenama Suunto dan imbuhan secara ‘one-off’ berjumlah RM2,000 daripada syarikat pengedar barangan sukan terbesar di Malaysia itu, kerana layak beraksi pada Sukan Olimpik Rio 2016.

“UFL membuat beberapa dakwaan yang tidak benar kepada media. Tujuan saya ini adalah untuk membersihkan nama saya bahawa saya tiada kaitan dengan UFL,” katanya pada sidang media hari ini.

“Tidak ada kontrak atau perjanjian dibuat antara saya dan UFL, dan dakwaan yang mereka buat adalah tidak benar,’ kata pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu.

Nauraj berkata beliau tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap UFL atau pihak lain yang terlibat, sebaliknya akan memberi fokus terhadap dua kejohanan di Jepun pada bulan depan, serta Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia ke-95 di Stadium Nasional Bukit Jalil dari 11 hingga 13 Mei ini.

Sebelum ini, Pengarah Urusan UFL Datuk Radha Krishnan dipetik sebagai berkata syarikat berkenaan tidak menolak kemungkinan akan mengkaji kontrak perjanjian dengan Nauraj dan pelari pecut negara Khairul Hafiz Jantan berikutan prestasi hambar mereka pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia baru-baru ini. -Bernama