Seramai 63 atlet Negeri Sembilan membantu negara muncul juara keseluruhan temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos tahun lalu dengan menyumbang 16 pingat emas, 12 perak dan sembilan gangsa.

Malaysia mengutip 145 emas, 92 perak dan 86 gangsa, diikuti Thailand dengan 72 emas, 86 perak dan 88 gangsa manakala Vietnam di tempat ketiga dengan 58 emas, 50 perak dan 60 gangsa.

Menurut laporan portal kerajaan negeri, ia menunjukkan jumlah atlet serta pencapaian bagi temasya dwitahunan itu tahun lepas meningkat berbanding 29 atlet menyumbang tiga emas, tujuh perak dan empat gangsa pada edisi 2015 di Singapura.

Pada edisi 2013 di Myanmar, seramai 22 atlet negeri mewakili negara dengan menyumbang tiga emas, dua perak dan enam gangsa manakala 16 atlet menghadiahkan 4/3/2 pada edisi 2011 di Indonesia dan 14 atlet merangkul 4/1/3 pada 2009 di Laos.

Selain itu, seramai lima atlet Negeri Sembilan menyertai Sukan Asia pada 2014 berbanding empat pada 2010 dan tiga pada 2006 manakala bagi Sukan Komanwel pula, seramai enam atlet menyertainya pada 2014, empat pada 2010 dan 2006.

Menurut laporan itu, Negeri Sembilan menyasarkan empat atlet negeri mewakili negara pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo selepas seorang pada edisi 2016 di Rio, dua di Beijing pada 2006, seorang di Athens pada 2004 dan tiada wakil negeri pada edisi 2010 di London.

Sementara itu, bagi tempoh 2004 hingga 2017, seramai 311 atlet negeri menyertai program tertinggipembangunan sukan, program bakat (2,331 atlet) dan program pelapis (6,654 atlet).

Menurut laporan itu, bagi Program Podium, seramai tujuh atlet negeri terpilih tahun lepas berbanding empat pada 2016, Program Kita Juara, 35 atlet pada 2017 dan 2016, Pelapis Kebangsaan, 2017 (43 atlet) dan 2016 (30 atlet), dan Pelapis Serantau 2017 (tiga atlet) dan 2016 (dua atlet).

Bagi sukan bola sepak, Negeri Sembilan muncul juara menerusi Piala Malaysia pada 2009 dan 2011, Piala FA (2010), Piala Sultan Ahmad Shah (2012), Liga Super (2005-2006), Sukan Malaysia (2004), Bawah 15 Tahun (2015), Piala Emas Raja-Raja (2015) dan Piala Agung (2016).

Selain itu, Negeri Sembilan, menurut laporan itu, turut memilik Velodrom Nasional, sebuah prasarana sukan bertaraf dunia yang dibanggakan rakyat di negeri ini.

Sementara itu, Negeri Sembilan menjadi negeri pertama mewujudkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia, yang bertujuan bagi melatih generasi muda sebagai pemimpin masa hadapan dan menyediakan forum yang terbaik untuk mempromosikan kebebasan bersuara.

"Ia juga bagi memberi ruang dan peluang untuk majoriti suara para belia didengari oleh pihak kerajaan dan ditangani secara telus," kata laporan itu.

Sebelum diwujudkan pada 2013, kajian yang dijalankan pada 2011 menunjukkan 86 peratus atau 4,730 responden bersetuju bahawa DUN Belia perlu ditubuhkan.

Seramai 36 anggota DUN Belia dipilih menerusi pilihan raya dan 30 anggota sektor dilantik dari pelbagai latar belakang bagi mewakili generasi muda di negeri ini. -Bernama