Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Mehmet puji anak buah
Diterbitkan:  Apr 30, 2018 12:43 PM
Dikemaskini: 4:46 AM

Pengendali Perak, Mehmet Durakovic memuji komitmen yang ditampilkan anak buahnya selepas membenam Kuala Lumpur 3-0 dalam aksi Liga Super 2018 yang berlangsung di Stadium Perak, malam tadi.

Beliau berkata kesebelasan pemain yang diturunkan mengikut arahan dan taktikal seperti mana yang telah diarahkan sehingga berjaya mendominasi perlawanan khususnya pada separuh masa kedua perlawanan.

"Mereka mengikut seperti mana yang dirancang sehinggakan saya rasa kita boleh menang lebih daripada tiga gol sekiranya beberapa peluang terhidang dapat dimanfaatkan para pemain.

"Bagaimanapun ini satu kejayaan kepada pasukan dan kita berjaya mengutip tiga mata penuh," katanya pada sidang media sejurus tamat perlawanan di Ipoh.

Dalam perlawanan berkenaan, gol-gol pasukan Perak dijaringkan oleh pemain import Leandro Dos Santos pada minit ke-27, Wander Luiz (m-65) dan Gilmar Jose Da Silva menambah derita Kuala Lumpur pada minit ke-72.

Selain itu, katanya masih terlalu awal untuk Perak memikirkan kejuaraan Liga Super walaupun pada ketika ini berada di tangga ketiga selain hanya dipisahkan lima mata daripada pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Perjalanan masih jauh tapi secara jujurnya saya amat kagum dengan persembahan, komitmen dan sikap yang ditunjukkan oleh para pemain selepas mengharungi semua perlawanan. Kita juga harap momentum ini dikekalkan," katanya.

Mengulas mengenai jendela perpindahan pemain yang dibuka pada awal Mei ini, Durakovic berkata tiada keperluan untuk merombak barisan pemain sedia ada walaupun ada ketika beberapa pemainnya gagal menunjukkan persembahan terbaik.

"Kita akui kadang-kadang ada yang bermain bawah tahap sebenar tetapi secara keseluruhannya saya berpuas hati," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS