Mufti Wilayah pun suka Salah
Tidak syak lagi pemain sayap Liverpool salah seorang pemain bola sepak paling popular pada masa ini.
Namanya semakin diperkatakan bukan saja kerana rekod jaringan mengangumkan - 43 gol untuk musim ini dengan sejumlah perlawanan yang masih berbaki - tetapi imej Islam yang sentiasa dibawanya.
Antaranya gambarnya membaca Quran ketika dalam perjalanan serta caranya merayakan jaringan dengan bersujud.
Tindakan itu, serta artikel tentangnya, nampaknya tidak terlepas daripada perhatian Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad.
Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, Zulkifli (gambar) menceritakan beliau pada mulanya menganggap salah sama seperti pemain beragama Islam lain di Liga Perdana Inggeris.

Bagaimanapun beliau berkata mula tertarik untuk mengetahui lebih lanjut tentang pemuda kelahiran Nagrig, Mesir, itu selepas mendengar nyanyian "I"ll be Muslim Too" oleh penyokong Liverpool.
Ia adalah lagu yang diubah suai liriknya daripada irama kumpulan Britain, James, berjudul Sit Down, yang dinyanyikan ketika peminat dalam sebuah bar ketika meraikan kejayaan Liverpool menewaskan FC Porto dalam saingan Liga Juara-juara Eropah, Februari lalu.

"Jika dilihat daripada perspektif yang lebih luas, kejayaan yang dirangkulnya bukan saja kerana kelincahan tetapi juga sikapnya yang begitu menjaga solat dan hubungan dengan Allah.
"Melihat kepada latar belakang hidupnya, benarlah disiplin solat telah berjaya mengubah hidupnya menjadi apa yang anda lihat hari ini," katanya lagi.
Justeru, katanya, Salah wajar dijadikan contoh kepada umat Islam lain dalam mengejar cita-cita dan impian masing-masing.
Yakinlah, kejayaan yang hakiki jua bersama dengan hamba-hamba-Nya yang memelihara solat.
"Itulah yang ingin disampaikan kepada semua penyokong Liverpool beragama Islam, kita akan berjaya dengan mengutamakan-Nya dalam semua perkara," katanya lagi.

