Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
BAM yakin Malaysia juarai Piala Thomas di Bangkok
Diterbitkan:  May 15, 2018 6:15 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yakin skuad negara mampu mencipta sejarah baharu dengan muncul juara Piala Thomas di Bangkok, Thailand, hujung bulan ini.

Katanya walaupun badan induk itu mengambil langkah berani membariskan kombinasi pemain muda dan berpengalaman, beliau yakin pemain yang dipilih mampu memberikan persembahan terbaik pada kejohanan yang dijadualkan berlangsung di Impact Arena, Bangkok dari 20 hingga 27 Mei ini.

“Paling penting bagi kita adalah semangat berpasukan untuk mencapai impian membawa pulang kembali Piala Thomas.

“Sekiranya mereka bermain bersungguh-sungguh dan berada pada tahap terbaik, saya yakin dan percaya bahawa mereka mampu pergi jauh, sebab itu kita letak sasaran separuh akhir untuk pasukan lelaki dan suku akhir untuk skuad wanita dalam Piala Uber,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Mohamad Norza ditemui selepas hadir pada majlis penutupan kem motivasi skuad badminton negara di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di Kuala Lumpur.

Kapten skuad Piala Thomas negara Datuk Lee Chong Wei yang berkongsi pandangan sama berkata keputusan BAM menghantar pemain muda yang akan beraksi buat pertama kali pada kejohanan itu adalah untuk pelaburan jangka panjang.

“Kita akan cuba yang terbaik… sasaran kita masih sama iaitu separuh akhir sebagaimana yang dikatakan oleh Presiden BAM… apa-apa boleh berlaku sepanjang berada di sana, namun kita akan buat persediaan terbaik dari segi mental,” kata Chong Wei yang bakal membuat penampilan terakhir pada kejohanan itu selepas kali pertama beraksi pada edisi 2006 di Jepun.

Pemain ranking ketujuh dunia itu akan mengetuai cabaran negara bersama Lee Zii Jia, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan naib juara Kejohanan Remaja Dunia 2017, Leong Jun Hao dalam acara perseorangan lelaki.

V Shem-Wee Kiong yang merupakan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 pula dipilih menggalas cabaran negara bersama Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Teo Ee Yi-Muhd Arif Abdul Latif dalam acara beregu lelaki.

Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama juara bertahan Denmark, Rusia dan Algeria dengan dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan akan layak ke peringkat suku akhir.

Kali terakhir Malaysia menjulang Piala Thomas adalah pada 1992 selepas menewaskan Indonesia 3-2 di Stadium Negara.

-Bernama

Lihat Komen
ADS