Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Red Giants kembali beraksi di Stadium Shah Alam
Diterbitkan:  Jul 4, 2018 4:20 PM
Dikemaskini: 8:23 AM

Harapan penyokong melihat skuad Red Giants kembali beraksi di Stadium Shah Alam akhirnya menjadi kenyataan selepas kerajaan Selangor memutuskan untuk membenarkan pasukan itu menggunakan stadium berkenaan sebagai gelanggang tuan rumah.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata keputusan itu sebagai tanda sokongan padu kerajaan negeri terhadap pelantikan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang baharu, semalam.

Tengku Amir Shah menggantikan Datuk Seri Subahan Kamal yang melepaskan jawatan itu untuk memberi lebih tumpuan selaku Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (MHC) dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Amirudin juga berkata pelantikan Raja Muda Selangor sebagai presiden FAS adalah tepat pada ketika persatuan itu memerlukan kepimpinan yang lebih kuat selain mampu melonjak kembali imej skuad Red Giants sebagai antara pasukan terkuat di rantau ini.

“Kerajaan Selangor ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah yang sah dilantik sebagai Presiden FAS yang baharu semalam.

“Kerajaan negeri akan memberi sokongan padu terhadap apa juga urusan melibatkan pengurusan pasukan Selangor termasuk membenarkan penggunaan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang tuan rumah untuk pasukan Selangor bagi perlawanan akan datang,” katanya dalam kenyataan di Shah Alam, hari ini.

Juara Piala Malaysia 33 kali itu sebelum ini, terpaksa beraksi di gelanggang lain berikutan kemelut yang dikatakan berlaku antara pengurusan FAS dan kerajaan Selangor apabila segelintir kepimpinan dalam FAS menentang perubahan yang cuba dibawa bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Amirudin berkata susulan kebenaran itu juga, pengurusan FAS boleh mula berbincang dengan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) dan FAM berhubung urusan jadual perlawanan.

Pasukan Selangor, katanya mula berlatih di padang Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam, sebagai persediaan perlawanan akhir Piala FA 2018 dan akan terus menggunakan padang itu sebagai lokasi latihan pasukan.

“Pastinya lebih banyak bantuan dan sokongan yang boleh dibincangkan untuk kecemerlangan bola sepak Selangor pada masa hadapan. Justeru, kerajaan negeri dan seluruh rakyat mendoakan agar Allah SWT memberi kekuatan kepada Raja Muda Selangor bagi mengemudi FAS ke satu dimensi yang baharu.

“Ayuh bersatulah, berikan sokongan padu pada Final Shopee Piala FA 2018 antara Selangor menentang Pahang, kekalkan mentaliti juara dan semoga Piala FA berjaya dibawa pulang ke Selangor,” katanya.

Selangor bakal berdepan Pahang pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS