Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Sayang 'jodoh' Karius dengan malang semacam panjang
Diterbitkan:  Sep 4, 2018 4:42 PM
Dikemaskini: 9:14 AM

Nasib malang bagai mengekori Loris Karius dari Liverpool.

Kini menyertai kelab Turki, Besiktas, Karius membuat kemunculan sulung bersama kelab barunya semalam dalam saingan Super Lig.

Semuanya nampak menjadi buat penjaga gol muda dari Jerman itu. Malah pada suatu ketika Karius, 25, tangkas menafikan cubaan pemain sayap Bursaspor, Allano, ketika mereka berdepan satu lawam satu di depan gol.

Ketika itu Besiktas sudah mendahului hasil jaringan seorang lagi bekas pemain Liverpool, Ryan Babel.

Kemudian tibalah minit ke-80 apabila Karius diberikan kad kuning atas sebab yang sepatutnya boleh dielakkan. Karius dihukum kerana pengadil berpendapat dia sengaja melengah-lengahkan permainan.

Namun itu nampaknya belum cukup malang buat Karius.

Enam minit kemudian dia tersilap langkah menjangkakan umpanan pemain Bursaspor, Yusuf Erdogan, yang licik menghantar bola dari kanan gol ke tengah.

Karius bergerak pantas ke depan namun seorang lagi pemain Bursaspor, Diafra Sakho, mencelah dari belakang dan menjaringkan gol penyamaan.

Permainan tamat dengan keputusan 1-1 dan meletakkan Besiktas di tangga kelapan Super Lig dengan tujuh daripada 12 mata yang boleh diraih mereka.


Baca Syed Saddiq mengusik: SPRM kena siasat Karius


Dengan perkongsian satu mata itu juga Bursaspor dapat berada di tempat ke-12 dengan tiga mata hasil tiga kali seri dan kalah sekali.

Nama Karius melonjak seketika apabila ketangkasannya menarik perhatian pengurus The Reds, Jurgen Klopp, yang membawanya ke Anfield dari kelab Mainz.

Bagaimanapun pada ketika Liverpool sangat memerlukan bakatnya, Karius tampil dengan cemerkap pada perlawanan akhir Liga Juara-juara menentang Real Madrid.

Kegagalan Karius juga menafikan impian Liverpool menjulang piala berprestij itu sekali lagi apabila ditundukkan 3-1 oleh kelab gergasi dari Sepanyol itu.

Lihat Komen
ADS