Bintang UFC Rusia Khabib Nurmagomedov menyatakan beliau tidak menyesal atas insiden bertumbuk dengan salah seorang anggota pasukan Connor McGregor selepas perlawanan UFC 229 yang lalu.

"Kamu tak boleh mengurung seekor helang di dalam sebuah sangkar. Itulah yang saya tunjukkan kepada mereka," katanya di hadapan kira-kira 10,000 peminatnya di Stadium Bola Anzhi Arena di kampung halamannya di Dagestan.

"Saya berdoa setiap hari supaya Tuhan memberi saya peluang untuk ditinggalkan hanya berdua dengan 'badut' itu di dalam kurungan gelanggang.

"Saya berdoa bahawa kami tak akan mendapat sebarang kecederaan, memulihkan kekuatan masing-masing, dan akhirnya dapat dikunci di dalam gelanggang.

"Banyak sangat hal yang diperkatakan di luar gelanggang, tetapi bagi saya, sebaik sahaja pintu gelanggang ditutup, saya tak akan bertanggungjawab dengan tindakan yang akan saya lakukan," katanya seperti yang dilaporkan Express.co.uk. 

Pergaduhan pada Sabtu lepas itu berlaku apabila Khabib memanjat keluar kurungan gelanggang dan menyerang Dillion Danis, salah seorang anggota pasukan McGregor selepas kemenangannya terhadap McGregor.

Kejadian itu menyebabkan kedua-dua pasukan bertumbuk sehingga terpaksa dileraikan oleh pasukan keselamatan.

Khabib mendakwa tindakannya itu disebabkan kata-kata hinaan oleh McGregor kepada agamanya, negaranya dan ayahnya.

Dalam perkembangan terbaharu, presiden UFC Dana White memutuskan untuk mengekalkan kejuaraan Khabib, seperti yang dilaporkan oleh sportsjoe.ie. 

Biarpun sebelum ini membayangkan mahu membatalkan kejuaraan Khabib sekiranya dia digantung oleh Nevada State Athletic Commission (NSAC), Dana nampaknya telah mengubah fikirannya.

"NSAC ada berbincang untuk tidak memberi Khabib wang kemenangannya yang berjumlah 2 juta AS dolar itu. Saya tak rasa itu patut dilakukan.

"Dia mungkin patut didenda sekitar 250,000 AS dolar, dan digantung sekitar empat ke enam bulan, tetapi dia berhak terus memegang kejuarannya," katanya kepada TMZ Live.