Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
JKR salahkan kontraktor isu kecacatan Akademi Mokhtar Dahari
Diterbitkan:  Oct 9, 2018 11:53 PM
Dikemaskini: Jan 13, 2019 10:08 AM

Jabatan Kerja raya (JKR) berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor MMN Bina Sdn Bhd sekiranya kecacatan dalam pembinaan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Kuantan tidak diselesaikan.

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan media JKR yang dikeluarkan hari ini sebagai memberi respons kenyataan bekas menteri belia dan sukan Khairy Jamaluddin.

Khairy sebelum ini menggesa JKR dan kontraktor yang terlibat bertanggungjawab atas kepincangan yang berlaku pada AMD.

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, JKR berkata, setakat 6 Oktober, sebanyak 2018, 833 kecacatan telah direkodkan dan  93 bilangan kecacatan telah dibuat pembaikan.

"Kategori kecacatan tersebut telah dipecahkan mengikut skop kerja arkitek, mekanikal, elektrikal dan sivil.

"Baki kerja-kerja pembaikan kecacatan sedang giat dilaksanakan di tapak bina dan akan diteruskan sepanjang tempoh tanggung kecacatan sehingga 30 Mac 2020.

"Pihak kontraktor adalah bertanggungjawab untuk membuat pembaikan kecacatan dan segala kos pembaikan adalah di bawah tanggungan mereka.

"Pihak JKR ingin menegaskan bahawa segala peralatan loose furniture, kelengkapan gimnasium dan kelengkapan fisioterapi adalah tidak termasuk dalam skop asal kontrak projek ini," katanya.

JKR juga memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau kerja-kerja pembaikan kecacatan pusat pembangunan bakat muda bola sepak itu.

"Sekiranya kontraktor gagal melaksanakan tanggungjawab dan obligasinya, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak Kontraktor sejajar dengan peruntukan terma-terma kontrak.

"JKR komited untuk menyelesaikan isu ini dengan kerjasama semua pihak," katanya.

Kenyataan media itu juga menjelaskan bahawa projek itu ditawarkan kepada MMN Bina secara kontrak reka dan bina pada 2 Disember 2015 dengan harga kontrak RM81,832,000.

Ekoran beberapa isu pembinaan, kata JKR, tempoh kontrak asal yang menetapkan projek perlu disiapkan dalam tempoh 20 bulan dilanjutkan selama tiga bulan.

"Bagaimanapun, pihak kontraktor gagal untuk menyiapkan projek ini dalam tempoh lanjutan yang ditetapkan dan telah dikenakan denda Ganti Rugi Tertentu & Ganti rugi Ditetapkan (LAD) selama 56 hari," katanya.

Lihat Komen
ADS