Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
'Malaysia boleh masuk Piala Dunia kalau pemain tak jaring ke gol sendiri'

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyuarakan hasrat beliau untuk melihat Malaysia kembali menempa nama yang gah di arena bola sepak antarabangsa.

Berucap semasa melancarkan sambutan Hari Sukan Negara 2018 di Stadium Bukit Jalil, Dr Mahathir menyatakan beliau yakin Harimau Malaya mampu bersaing dalam gelanggang Piala Dunia pada masa akan datang.

"Saya yakin orang Malaysia boleh. Mereka kalau berusaha sedikit, mereka boleh.

"Kalau nak jadi penjaring dalam pasukan bola sepak, kena berlatih banyak kali," katanya.

Dengan keyakinan yang betul kata Dr Mahathir suatu hari nanti pemain Harimau Malaya memperoleh kemahiran seperti pasukan lain dan layak bersaing di Piala Dunia.

Malah kata beliau tidak mustahil pasukan Malaysia mencatat kemenangan di temasya paling berprestij untuk sukan bola sepak itu.

Namun pada masa sama perdana menteri mengingatkan usaha itu boleh tergendala jika pemain negara terjebak dengan gejala rasuah.

"Janganlah kerana orang sogok duit, kita terima, dan kita buat jaringan ke gol sendiri. Itu tak boleh.

"Kita mesti jaga pasukan kita supaya dapat kemenangan," tegasnya.

Mengimbau sejarah bola sepak negara, Dr Mahathir berkata pasukan Malaysia pernah disegani sebagai skuad handalan untuk temasya di peringkat Asia, seperti Pesta Bola Merdeka.

Ketika itu katanya kualiti skuad kebangsaan berada di atas kebanyakan negara termasuk Korea Selatan.

"Orang lain (ketika itu) tak pandai main bola sepak. Orang Jepun tak tau, orang Korea tak pandai, kita saja yang pandai.

"Kita main bola sepak pakai but, mereka main berkaki ayam," katanya.

Tapi kata Dr Mahathir ketika ini skuad negara yang berada di bawah Malaysia dalam ranking suatu ketika dulu sudah layak menyertai Piala Dunia.

"(Pasukan) yang main pakai but dari Malaysia ni, tak dapat masuk pun," tambahnya lagi di hadapan kira-kira 10,000 peserta acara Fun Run 3km and Fun Ride 10km sempena Hari Sukan Negara.

Terdapat lebih 30 aktiviti dianjurkan sepanjang sambutan berlangsung di pekarangan Stadium Bukit Jalil.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut membuat kejutan apabila tampil dengan aksi flying fox dengan membawa bendera pelancaran Hari Sukan Negara yang diserahkan kepada Dr Mahathir.

Turut hadir Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Lihat Komen
ADS