Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Mayweather, Khabib bertembung jika hadiah cukup lumayan
Diterbitkan:  Oct 16, 2018 8:00 PM
Dikemaskini: 12:03 PM

Selepas menundukkan keangkuhan Conor McGregor, kini atlet Russia Khabib Abdulmanapovich Nurmagomedov tampil mencabar lawan lain pula.

Kali ini lawan yang diajar beradu kekuatan oleh Khabib bukanlah orang yang biasa berada dalam gelanggang sama sepertinya.

Khabib mengajak petinju handalan yang sudah bersara, Floyd Mayweather, 41, untuk bertarung bersamanya.

Jika Khabib memiliki rekod kemenangan 27-0, Mayweather pula boleh berbangga dengan pencapaiannya 50-0.

Walaupun belum pasti sama ada pertarungan itu akan menjadi kenyataan atau tidak, petinju itu nampaknya enggan berdiam diri.

Sehari selepas dicabar Mayweather menulis di media sosial: "“CBS, Showtime dan MGM Grand - keluarkan buku cek kalian!"

Kenyataan itu membayangkan Mayweather bersedia keluar daripada persaraannya sekali lagi jika wang yang ditawarkan untuknya benar-benar lumayan.

Sebenarnya sebelum Khabib dan Mayweather bertembung di dalam gelanggang - jika menjadi kenyataan - kedua-dua mereka sudah 'disatukan' oleh faktor McGregor.

Hal itu kerana Mayweather sudah bertarung dengan atlet dari Ireland terbabit pada 26 Ogos 2017. Perlawanan berakhir dengan kemenangan memihak Mayweather melalui TKO pada pusingan ke-10.

Sementara itu rakan baik Khabib, Daniel Cormier, berpendapat tindakannya mencabar Mayweather bukanlah sesuatu yang bijak.

"Apa yang Khabib lakukan ni?" katanya ambil ketawa.

Kata Cormier dia tetap percaya kepada kemampuan Khabib, 30, namun berdepan dengan Mayweather rakannya itu tidak akan mampu menahan asakan petinju berkenaan.

"Kecualilah dia nak bertarung demi wang, tetapi Khabib akan tumbang," katanya.

Lihat Komen
ADS