Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Rafizi: Sekarang zaman orang sokong team 'yang berkuasa'
Diterbitkan:  Dec 19, 2018 4:48 PM
Dikemaskini: 8:48 AM

Liverpool nampaknya terus menjadi antara kelab bola sepak pilihan di kalangan ahli politik.

Menyertai Anggota Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dan Anggota Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz diketahui meminati pasukan itu adalah Rafizi Ramli yang 'mengisytiharkan' sokongannya hari ini.

Apatah lagi selepas skuad The Reds itu kini menikmati musim cemerlang dengan 17 perlawanan liga tanpa kalah setakat ini.

"Saya memang penyokong Liverpool dari dulu, cuma masa tak menang saya berada di belakang.

"Sekarang liverpool dah top, saya yang paling ke depan menyokong," ciapnya di Twitter.

Liverpool kini berada di tangga teratas Liga Perdana Inggeris dengan 45 mata, satu mata mendahului pencabar terdekat Manchester City.

Barangkali sudah menjadi resmi orang politik, ciapan sokongan itu turut disertakan sindiran berkenaan keadaan politik semasa.

"Kalau ada borang untuk sertai, saya isi borang masuk Liverpool.

"Ramai orang macam saya yang sokong belakang ni, tambah lagi zaman sekarang," katanya lagi.

Walaupun tidak menyatakan secara khusus, bekas naib presiden PKR itu dipercayai merujuk kepada sejumlah pemimpin dan wakil rakyat Umno yang telah dan berhasrat menyertai Pakatan Harapan (PH) terutama Bersatu.

Langkah itu mendapat bantahan ramai pihak, termasuk pemimpin PH sendiri seperti Nurul Izzah Anwar dan Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo.

Lihat Komen
ADS