Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Pemain import: Kafa rayu syarat ketat MFL
Diterbitkan:  Jan 2, 2019 6:33 PM
Dikemaskini: 10:33 AM

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan membuat rayuan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengenai syarat ketat yang dikenakan ke atas persatuan itu berhubung pengambilan pemain import.

Presidennya Bibi Ramjani Ilias Khan berkata usaha itu dilihat perlu dalam usaha mengekalkan dua pemain import Kafa selain mengambil pemain baharu bagi menghadapi musim 2019.

"Ada beberapa faktor tertentu yang menyebabkan kami perlu merayu, antaranya dua pemain import yang sah bersama kami adalah bawah tajaan penaja kami.

"Kita harap rayuan kita diterima bagi memastikan Kelantan juga akan bermain dengan pemain import seperti pasukan lain dan kami dalam usaha untuk mengatasi hutang lama itu," katanya kepada Bernama di Kota Bharu hari ini.

MFL sebelum ini dilapor mengenakan syarat ketat ke atas Kafa berhubung pengambil pemain import disebabkan masalah tunggakan gaji bekas pemain Dramane Traore dan bekas pengarah teknikal Alfredo Gonzales berjumlah RM500,000.

Untuk rekod, Kafa baru sahaja mendapatkan khidmat pemain Jepun Suzuki Yuta menerusi pakej penajaan syarikat minuman kultur Yakult selain mengekalkan pemain import musim lalu Cassio Francisco de Jesus dari Brazil.

Mengulas lanjut, Bibi Ramjani berkata bagaimanapun sehingga kini pihaknya masih belum menerima secara bertulis berhubung syarat yang dikenakan MFL itu.

Pada masa sama beliau berkata Kafa akan menguji beberapa pemain import untuk “diikat” bagi membantu The Red Warriors menghadapi Liga Malaysia musim ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS