Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Khabib janji 'terbangkan' peminat muda ke Mekah
Diterbitkan:  Jan 9, 2019 4:58 PM
Dikemaskini: 9:08 AM

Selepas membanggakan bangsanya dan Russia, atlet sukan lasak Khabib Nurmagomedov kini sedang cuba merealisasikan impian 10 peminat bertuah yang menulis kepadanya.

Petinju MMA berbangsa Dagestan itu sebelum ini menggerakkan inisiatif #LettertoKhabib (Surat Buat Khabib) kira-kira seminggu lalu.

Melalui kempen berkenaan Khabib, 30, meminta peminatnya menulis dengan menyatakan impian mereka untuk 2019 dan berjanji cuba untuk menunaikannya.

Peminat bertuah akan dipilih berdasarkan keterangan dihantar melalui media sosial dalam kalangan lebih 13 juta pengikut Instagramnya yang menggunakan tanda pagar berkenaan.

Kumpulan pertama pemenang bertuah diumum semalam. Antara mereka ialah dua pemuda yang berharap dapat berkunjung ke Mekah untuk mengerjakan haji.

Media melaporkan Khabib berjanji untuk menghubungi remaja terbabit. Turut mendapat perhatian atlet sukan tempur lasak itu ialah budak berusia lapan tahun yang memerlukan kerusi roda.

Kanak-kanak terbabit mengalami penyakit palsi serebrum (cerebral palsy).

Bagaimanapun tidak semua impian peminat Khabib dapat ditunaikan. Misalnya, impian seorang pemuda yang berharap Khabib dapat membantunya menjalani ujian bakat dengan kelab Barcelona.

Masalahnya ialah Khabib penyokong tegar Real Madrid, sekali gus musuh ketat Barcelona.

Sebaliknya Khabib menawarkan sesuatu yang berbeza. Dia mengajak pemuda terbabit bersama-sama menyaksikan perlawanan Real Madrid menentang Ajax dalam saingan Liga Juara-juara pada Mac ini.

Lebih istimewa Khabib akan membawa pemuda berkenaan bertemu pemain Real Madrid pada sesi latihan nanti.

Lihat Komen
ADS