Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Di bawah Ronaldo, di atas Messi ada Sunil Chhetri
Diterbitkan:  Jan 10, 2019 4:51 PM
Dikemaskini: 8:51 AM

Biasanya orang orang hanya menyebut beberapa nama yang memang sudah dikenali. Cristiano Ronaldo, Lionel Messi, Neymar, Mohamed Salah dan Paul Pogba, misalnya.

Namun tidak ramai yang sedar dalam sejarah jaringan antarabangsa, ada seorang pemain India berada di kedudukan istimewa, iaitu di antara Ronaldo dan Messi.

Namanya Sunil Chhetri. Selain menjadi pemain kebangsaan India, dia juga beraksi bersama kelab Bengaluru FC di Liga Super India.

Di pentas antarabangsa nama Chhetri berada lebih tinggi berbanding Messi. Ia sudah mencetak 67 gol peribadi untuk pasukan kebangsaan, dan hanya dikalahkan oleh Ronaldo yang mencatat 85 gol buat Portugal.

Messi pula menyumbang 65 gol buat Argentina setakat ini.

Sejarah itu terlakar ketika Chhetri menyumbangkan dua gol ketika membantu skuad India mengalahkan Thailand dalam perlawanan pembukaan Piala Asia di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu pada Ahad lalu.

Siapakah Chhetri itu?

Demi negara India

Dia pemain penyerang dan sayap buat skuad kebangsaan India. Chhetri juga bertindak sebagai ketua pasukan untuk pasukan kebangsaan dan kelabnya.

Dilahirkan di Secunderabad, India lebih 34 tahun lalu Chhetri bermain untuk skuad kebangsaan negara itu sebanyak 105 kali.

Dengan rekod 67 gol untuk pasukan kebangsaannya itu Chhetri juga mengatasi kedudukan pemain Brazil, Ronaldo, dan Zlatan Ibrahimovic (Sweden).

Di atas padang, Chhetri digelar Kapten Fantastik.

Dia mencetak gol peribadi pertama untuk India pada 2005 ketika mewakili skuad terbabit menentang Pakistan. Bagaimanapun perlawanan di antara dua negara yang berkrisis itu berakhir dengan seri 1-1.

Chhetri memang berangan-angan mahu mencipta nama di luar negara, namun beberapa percubaannya - termasuk di Liga MLS Amerika Syarikat (bersama Kansas City Wizard) pelapis Sporting Lisbon (Portugal), Coventry dan Queens Park Rangers (England) - gagal membuahkan hasil yang diharapkan.

Kelab Coventry menukar fikiran kerana berpendapat kemahiran dimiliki Chhetri tidak memadai, manakala QPR pula gagal mendapatkan permit kerja untuknya.

Menceritakan perasaannya ketika ini, Chhetri berkata, ia sukar digambarkan.

"Saya tak boleh dibandingkan dengan Messi atau Ronaldo, tapi saya sangat, sangat rasa dihargai," katanya.

Apakah rahsia Chhetri sehingga dia berjaya melakar kejayaan sebegitu?

"Saya tak pernah mengambil mudah apa saja peluang. Setiap kali saya membuat jaringan, ia adalah untuk negara saya - India.

"Kalau ada kesempatan, saya memberikan yang terbaik," katanya.

Lihat Komen
ADS