Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan

Pembatalan hak penganjuran Kejohanan Renang Para Dunia 2019 tidak merugikan negara, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut beliau, apa yang penting ialah, Malaysia kekal menjaga dan mempertahankan hak untuk tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel.

"Kita kekal menjaga dan mempertahankan hak kita yang tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel.

"Kita tak rasa kerugian apa-apa kerana alasan-alasan yang kita ada.

"Kalau diteruskan juga (penganjuran) mestilah dengan ketidakhadiran atlet dari Israel," katanya kepada media selepas merasmikan Karnival Youngpreneurs Go! di Politeknik Kota Bharu, Kelantan, hari ini.

Terdahulu, Majlis Paralimpik Antarabangsa (IPC) membatalkan penganjuran sukan antarabangsa itu yang dijadual berlangsung di Kuching, Sarawak pada pertengahan tahun ini.

Ia susulan ketegasan kerajaan Malaysia untuk tidak membenarkan atlet dari Israel memasuki negara ini.

Tak bagi tak apa

Menurut IPC, keputusan itu diambil semasa mesyuarat lembaga pengarahnya di London selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) gagal memberikan jaminan yang diperlukan bahawa perenang paralimpik Israel boleh mengambil bahagian, bebas daripada diskriminasi dan selamat dalam kejohanan.

Ia termasuk pematuhan penuh protokol IPC berkaitan dengan lagu dan bendera, dan memerlukan visa berkaitan. www.paralympic.org.

Sementara itu, Saifuddin berkata, keputusan untuk menerima hak penganjuran kejohanan tersebut sebelum ini dibuat oleh kerajaan BN.

Katanya, kerajaan persekutuan hari ini tetap bertegas supaya penganjuran itu boleh dibuat sekiranya tanpa kehadiran atlet Israel.

"Keputusan sekatan terhadap atlet Israel itu diputuskan secara konsensus oleh jemaah menteri dalam mesyuarat kabinet.

"Tapi perlu diingat keputusan untuk terima hak penganjuran itu dibuat oleh kerajaan lepas dan mereka sedar bahawa penganjurannya adalah dengan penglibatan atlet dari Israel.

"Dan kerajaan yang sekarang pula kata tak boleh, badan antarabangsa kata kalau macam itu Malaysia tak boleh jadi penganjur. Kita kata dipersilakan, ahlan wa sahlan, " jelasnya.

Lihat Komen
ADS