Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Jurulatih China bebas tuduhan rogol atlet terjun negara
Diterbitkan:  Jan 31, 2019 4:32 PM
Dikemaskini: 8:32 AM

Bekas jurulatih pasukan terjun kebangsaan Huang Qiang yang didakwa merogol seorang atlet terjun kebangsaan wanita di Kompleks Akuatik Sukan Negara dua tahun lalu, hari ini menarik nafas lega apabila dia dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan itu.

Hakim Noradura Hamzah memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes Huang, 37, di akhir kes pembelaan di Mahkamah Sesyen di sini.

“Mahkamah dengan ini melepas dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan,” kata hakim itu setelah mendengar keterangan 15 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan pada prosiding perbicaraan kes itu yang bermula 19 Jan 2018.

Pada 11 Okt 2017, Huang yang berasal dari China dan telah mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia, mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas tuduhan merogol mangsa di dalam gim kering, Gimnasium Terjun, Kompleks Akuatik Sukan Negara, Kompleks Sukan Bukit Jalil, Sri Petaling, Cheras, di Kuala Lumpur pada 5.30 petang, 26 Sept 2017.

Dia dituduh mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pada 9 April 2018, Huang dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun pada 31 Okt 2018, Mahkamah Tinggi memerintahkan tertuduh membela diri selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan Huang.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya KVasugi manakala Huang diwakili peguam Mohd Hisham Md Nen.

- Bernama

Lihat Komen
ADS