Pengambilan pemain naturalisasi tak gugat peluang atlet negara
FAM tidak berasakan pemain naturalisasi boleh menjejaskan peluang pemain tempatan menyertai skuad kebangsaan kerana proses kemasukannya dilakukan secara teliti dan mengikut prosedur.
Presiden FAM Hamidin Mohd Amin berkata pihaknya mempunyai kumpulan kajian teknikal bagi memastikan pengambilan pemain asing benar-benar memberi kesan positif kepada negara untuk jangka masa pendek dan panjang.
"Kita perlu ingat prosedur standard naturalisasi yang kita cadangkan di Pulau Pinang dahulu.
"Ia membabitkan semua pihak terlibat, sama ada kita ambil seorang atau dua tiga orang pemain naturalisasi itu bergantung kepada kumpulan kajian teknikal FAM.
"FAM mengikut peraturan.... sekiranya kita mengambil lima pemain naturalisasi adakah ia akan menjejaskan pemain tempatan? Rasanya tidak," katanya pada sidang media selepas melawat Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Gambang, Kuantan hari ini.
Turut hadir hadir Timbalan Presiden FAM, Subahan Kamal, Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara, Jefri Ngadirin dan ketua jurulatih skuad negara bawah 22 tahun, Ong Kim Swee.
Sementara itu Hamidin berkata pelbagai penambahbaikan ke atas AMD akan dilakukan dari semasa ke semasa.
"FAM setuju untuk memberikan bantuan kewangan dan peralatan selain menyelesaikan segera masalah dihadapi.
"FAM kini memainkan peranan lebih besar untuk meletakkan akademi ini berada pada tahap tertinggi kerana ia berfungsi melahirkan pemain elit negara 10 tahun akan datang," katanya.
Dalam pada itu, Hamidin menyatakan dirinya lebih layak bertanding di peringkat exco Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) berbanding naib presiden badan berkenaan.
"Saya selalu cermin diri saya dan sudah tentu keutamaan saya FAM.... jadi saya rasa tidak sesuai untuk bertanding naib presiden AFC," katanya.
- Bernama

