Kejohanan renang para dunia beralih ke London
Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) memilih London sebagai tuan rumah bagi Kejohan Renang Para Dunia 2019 selepas Malaysia menyekat penyertaan atlet dari Israel.
Pemilihan semula lokasi pertandingan itu dibuat IPC pada September lalu selepas Malaysia gagal memberi jaminan terhadap kebeban daripada diskriminasi dalam kalangan atlet Israel yang akan mengambil bahagian.
"Kami gembira untuk mengumumkan London sebagai bandar tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia," kata Presiden IPC Andrew Parsons dalam satu kenyataan hari ini.
Dengan pemilihan London itu bermakna sudah dua kali Britain menjadi tuan rumah kepada acara dwitahunan itu selepas menganjurkannya kali pertama pada 2015 di Glasglow.
Kejuaraan itu pada mulanya dijadualkan akan berlangsung pada akhir Julai dan awal bulan Ogos ini.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 10 Januari lalu mempertahankan pendirian Putrajaya untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada kejohanan renang para dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang akan berlangsung bermula 29 Julai hingga 4 Ogos depan.
Mahathir berkata, sekiranya skuad Israel itu tetap berdegil mahu menyertai kejohanan berkenaan maka ia adalah satu kesalahan.
Sementara itu Parsons berkata, ekoran pembidaan baru bagi kejohanan terbabit terpaksa dilakukan, maka acara tersebut ditunda kepada 9 hingga 15 September.
"Tarikh yang tidak sama dengan apa yang dirancang pada asalnya di Malaysia dan tarikh baru ini pasti memberi kesan kepada prestasi para perenang para.
"Bagaimanapun, berikutan pembatalan Malaysia dan pembukaan proses pembidaan baru, sememangnya tidak mungkin untuk menganjurkan acara akhir bulan Julai dan awal Ogos," katanya.
- Reuters

