Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Malaysia bertemu Timor Leste bagi kelayakan Piala Dunia
Diterbitkan:  Apr 17, 2019 5:18 PM
Dikemaskini: 9:18 AM

Pasukan Bola Sepak Negara akan bertemu Timor Leste bagi perlawanan pusingan pertama Piala Dunia Qatar 2020 dan Kelayakan Piala Asia 2023.

Malaysia yang kini berkedudukan 168 dunia dan ke-35 daripada 46 negara Asia yang menyertai kelayakan ini, akan menjadi tuan rumah kepada perlawanan pertama yang berlangsung pada 6 Jun atau hari raya kedua Aidilfitri, dan perlawanan timbal balik pada 11 Jun di stadium yang akan ditetapkan kemudian.

Ketua Jurulatih Negara, Tan Cheng Hoe positif dengan undian tersebut, namun meminta pemain untuk kekalkan fokus, dan tidak mengambil mudah pasukan Timor Leste yang kini ditangga 195 dunia dan beliau menjangkakan negara itu akan menurunkan pemain naturalisasi mereka.

“Pada Piala AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN) pun kita dapat lihat bahawa Timor Leste mempamerkan permainan yang berbahaya dari segi serangan. Mungkin kita juga akan menurunkan dua atau tiga pemain naturalisasi sebagai pembakar semangat.

“Perlawanan ini juga penting bagi kita, jadi saya berharap pemain dapat memberikan fokus penuh, tidak terlalu yakin dan memastikan sambutan Hari Raya tidak mengganggu persediaan kita. Mereka terpaksa mengorbankan Hari Raya tahun ini demi negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis undian yang diadakan di ibu pejabat Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) di Kuala Lumpur hari ini.

Pada pusingan kedua perlawanan Kumpulan A Piala Dunia dan Kelayakan Piala Asia yang lepas, Malaysia mencatatakan seri 1-1 di Malaysia dan menang 1-0 dalam perlawanan di tempat lawan menentang Timur Leste.

Di pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia, Malaysia menang dengan agregrat 6-0 terhadap negara itu, namun AFC membatalkan kedua-dua perlawanan tersebut, selepas Timor Leste membariskan 12 pemain yang tidak sah, selain digantung penyertaan Kelayakan Piala Asia 2023.

Pada edisi kali ini, Malaysia berkedudukan 12 pasukan paling rendah dalam kelayakan ini, yang mana perlu bermain pada pusingan pertama ,dengan enam pasukan yang menang akan menyertai 34 pasukan tertinggi di Asia dalam pusingan seterusnya termasuk juara Kejuaraan Asia dan tuan rumah Piala Dunia, Qatar.

Kesemua enam perlawanan itu merupakan perlawanan pertama untuk kelayakan Piala Dunia 2022 yang akan berlangsung di seluruh dunia.

Pada pusingan kedua yang dijadualkan pada September, 40 pasukan akan diundi dalam lapan pasukan yang terdiri daripada lima pasukan setiap satu, dengan hanya pendahulu kumpulan dan empat pasukan di tempat kedua terbaik akan layak ke Pusingan Ketiga kelayakan Piala Dunia dan slot automatik untuk Piala Asia.

Negara yang gagal untuk mendapat slot automatik akan perlu merebut 12 lagi slot Piala Asia, manakala pasukan yang telah layak akan meneruskan kelayakan Piala Dunia dengan perlawanan pusingan keempat dan kelima.

AFC masih belum menentukan mekanisme pusingan keempat dan kelia, kerana Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) masih belum membuat keputusan akhir mengenai jumlah pasukan untuk Piala Dunia 2022, apabila kejohanan dunia itu kembali ke Asia selepas 20 tahun sejak Piala Dunia Korea/Jepun 2002.

FIFA dijangka akan membuat keputusan sama ada menambah jumlah pasukan daripada 32 ke 46 pasukan semasa Kongressnya pada 6 Jun di Paris.

Undian Pusingan Pertama:

-------------------------------------

1. Mongolia lwn Brunei

2. Macau lwn Sri Lanka

3. Laos lwn Bangladesh

4. MALAYSIA lwn Timor Leste

5. Cambodia lwn Pakistan

6. Bhutan lwn Guam

- Bernama

Lihat Komen
ADS