Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Yusri tak teragak tinggalkan K'tan jika pemain tak berubah
Diterbitkan:  Apr 21, 2019 11:09 AM
Dikemaskini: 3:09 AM

Ketua Jurulatih Kelantan Yusri Che Lah tidak teragak-agak untuk meninggalkan pasukan itu sekiranya pemain masih tidak 'insaf' untuk kembali bangkit dalam perlawanan seterusnya dalam saingan Liga Premier.

Ini berikutan kekalahan teruk Kelantan kepada pasukan Negeri Sembilan dalam saingan liga tersebut di Stadium Sultan Muhammad lV malam tadi.

Jurulatih kelahiran Perlis itu berkata pemain perlu sedar corak permainan yang ditampilkan itu tidak membawa pasukan ke mana-mana malah boleh menyebabkan Kelantan akan turun ke Liga Divisyen 3 (M3) berikutan mutu permainan yang teruk.

"Saya beranikan diri untuk hadir ke Kelantan sebagai jurulatih kerana sebelum ini saya tahu kualiti yang ada pada pasukan bukan seperti perlawanan malam ini.

"Tidak mustahil saya akan tinggalkan pasukan ini sekiranya pemain tidak berubah.

"Buat apa saya datang ke sini untuk menjahanamkan reputasi saya sebagai jurulatih dan jika saya boleh tinggalkan Kuala Lumpur (letak jawatan) sebagai jurulatih dan ia tidak menjadi masalah kepada saya untuk meninggalkan pasukan ini," katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut malam tadi.

Pada perlawanan itu Kelantan tewas 2-5 kepada pasukan pelawat sekali gus kekal berada di tangga tercorot Liga Premier.

Gol kelantan dijaringkan Flavio Beck Junior pada minit ke-15 dan Mohamad Hakimi Abdullah pada masa kecedraan babak kedua manakala pemain Negeri Sembilan, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir mencipta hatrik menerusi jaringan pada minit ke-12,minit ke-43 dan minit ke-50.

Dua lagi gol Negeri Sembilan dijaringkan Jose Almir Barros Neto pada minit ke-54 dan Mohammad Ridzuan Abdunloh Pula pada minit ke-56.

Yusri turut melahirkan rasa kecewa terhadap mutu permainan pemain import Kelantan Mustapa Zazai yang tidak mencapai kualiti seorang pemain import.

"Saya hairan kenapa Mustapa Zazai berada dalam pasukan Kelantan. Saya perlu mengatakan perkara ini kerana dia tidak mempunyai kualiti sebagai pemain import yang bersesuaian kerana Kelantan sinonim dengan kejayaan.

"Saya harap dia berubah dalam satu atau dua perlawanan sebelum jendela perpindahan kedua bermula kerana saya perlu menggantikan pemain import yang boleh membantu pasukan," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS