Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
K’jaan tiada halangan FAM teruskan program naturalisasi pemain

Kerajaan tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu meneruskan program naturalisasi pemain demi meningkatkan mutu bola sepak negara, kata Presiden FAM Hamidin Mohd Amin.

Beliau berkata jaminan itu dicapai hasil pertemuan delegasi FAM dengan Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin di Putrajaya, Selasa lepas, bagi membincangkan perancangan masa hadapan badan induk itu menerusi peta hala tuju F:30, yang turut melibatkan program naturalisasi pemain kelolaan FAM.

Hamidin menjelaskan bahawa kerajaan tiada halangan bagi program itu selagi prosedur operasi standard (SOP) pengambilan pemain naturalisasi itu tidak melanggar mana-mana peraturan ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang boleh memberi impak buruk kepada negara.

“Kita tahu antara elemen yang besar dalam urusan pemain naturalisasi adalah kerajaan dan melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN). Tanpa kelulusan daripada kerajaan kita tidak akan dapat pemain naturalisasi.

“Perjumpaan tempoh hari lebih kepada menerangkan mengenai SOP pengambilan pemain dan Tan Sri juga tiada halangan sekiranya ia berjalan mengikut peraturan dibenarkan FIFA dan sedia memberi sokongan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mengulas lanjut, Hamidin berkata pada masa ini, tanggungjawab FAM adalah mengenal pasti pemain naturalisasi berkualiti yang boleh menaikkan nama negara di pentas antarabangsa.

Pertemuan di Putrajaya itu turut dihadiri Timbalan Presiden FAM Mohd Yusoff Mahadi selaku Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi dan Pengarah Teknikal FAM, Peter De Roo.

Undang-undang FIFA menyebut seseorang pemain bola sepak boleh mewakili negara berbeza sebelum berumur 21 tahun atau sekiranya melepasi had umur itu, dibenarkan untuk mewakili negara lain dengan syarat belum mewakili negara asal.

Sebagai rekod, penyerang Pahang Mohamadou Sumareh mencipta sejarah menjadi pemain naturalisasi pertama negara pada Julai tahun lepas dan membantu skuad kebangsaan muncul naib juara Kejohanan Piala AFF 2018.

Namun, FAM terus ghairah membuka lebih kuota pemain naturalisasi dalam skuad negara dengan pemain Melaka United, Liridon Krasniqi dan penyerang sensasi Kuala Lumpur, Guilherme De Paula antara dua nama yang disebut-sebut bakal mengikut jejak langkah Sumareh.

- Bernama

Lihat Komen
ADS