Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Siri Terjun Dunia 2019: Nur Dhabitah raih gangsa


Penerjun wanita negara Nur Dhabitah Mohd Sabri menamatkan kemarau pingat Malaysia dalam Siri Terjun Dunia 2019 (DWS) selepas merangkul pingat gangsa pada pusingan akhir kejohanan itu di London, England pada Ahad (Isnin di Malaysia).

Atlet berusia 19 tahun itu mengumpul 344.40 mata selepas pusingan kelima acara 3m papan anjal pada kejohanan yang diadakan di Pusat Akuatik London, Queen Elizabeth Olympic Park, demikian menurut laman sesawang Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA); www.fina.org.

Ini merupakan pingat kedua Nur Dhabitah dalam DWS selepas meraih pingat perak bersama Pandelela Rinong dalam acara 10m platform seirama wanita di Windsor, Kanada pada 2017.

Penerjun Australia, Maddison Keeney, mendapat pingat emas pada acara itu dengan kutipan 368.30 mata manakala Jennifer Abel dari Kanada membawa pulang pingat perak dengan 353.05 mata.

Terdahulu, Nur Dhabitah yang bergandingan dengan Muhammad Syafiq Puteh dalam acara 3m terjun seirama campuran, menamatkan saingan dengan kedudukan kelima daripada lapan pasangan dengan 302.43 mata.

Pasangan tuan rumah, Thomas Daley/Grace Reid merangkul pingat emas dengan 322.89 mata, Domonic Bedggood/Madison Keeney dari Australia meraih pingat perak (322.14 mata), manakala pingat gangsa menjadi milik pasangan Kanada Francois Imbeau-Dulac/Jennifer Abel (319.02 mata).

Untuk rekod, Malaysia gagal menghasilkan sebarang pingat dalam empat pusingan sebelum ini - Sagamihara, Jepun (1-3 Mac); Beijing, China (7-9 Mac); Montreal, Kanada (26-28 April) dan di Kazan, Rusia (10-12 Mei).

- Bernama

Lihat Komen
ADS