Bekas kapten The Red Warriors (TRW), Mohd Badhri Mohd Radzi, kembali mewarnai arena bola sepak tempatan apabila menyertai Kelantan United bagi mengharungi baki saingan Liga M3 musim ini.
Presiden Kelantan United Che Abdullah Mat Nawi berkata penyertai pemain itu - yang lebih dikenali dengan panggilan Piya - membuktikan seriusnya pihak pengurusan pasukan terbabit untuk merealisasikan impian layak ke saingan Liga Perdana musim depan.
"Saya percaya kehadiran tunggak berpengalaman itu akan menambah kekuatan Kelantan United untuk mengharungi saingan musim ini.
"Selain Badhri, kami turut membawa masuk beberapa pemain yang berpengalaman dalam saingan liga tempatan.
"Antaranya Mohd Nizab Ayub dari Perak, Mohd Azrean Aziz (T-Team), Wan Mohamad Ridhwan Deraman (Kelantan) dan Mohd Ainan Yusoff (Piala Presiden Kelantan)," katanya di Kota Bharu hari ini.
Che Abdullah berkata Kelantan United turut membawa masuk tunggak import dari Gambia, Alfusainey Gassamu, untuk tampil lebih perkasa di bahagian serangan.
"Kehadiran enam tunggak itu bagi menggantikan pemain yang digugurkan iaitu Muhamad Azmi Hamzah, Muhamad Fadzlie Abdullah, Mohamad Faizol Fazree Ismail Mohamad Azri Azam, Mohamad Zailani Ramli dan Elano Carlos Zozimar.
"Meskipun digugurkan, Kelantan United tetap cakna kebajikan mereka dengan mencari pasukan baru untuk pemain terbabit," katanya.
Selepas mengharungi tujuh perlawanan, Kelantan United kini menghuni tangga ketiga dalam saingan Liga M3 dengan mengumpul 16 mata hasil lima kemenangan satu seri dan satu kalah.
Kelantan United kini hanya dibezakan tiga mata dengan pendahulu M3 Kuching FA.
- Bernama
