Keadaan padang bukan alasan - Cheng Hoe
Ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan, Tan Cheng Hoe tidak mahu menjadikan keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil, yang kurang memuaskan sebagai alasan untuk tidak mempamerkan aksi terbaik menentang Timor Leste pada Jumaat dan Selasa ini.
Malah, pengendali berusia 51 tahun itu, yakin anak buahnya mampu menampilkan permainan yang terbaik pada aksi pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 itu.
“Mungkin ramai yang kata saya mengadu tentang padang, tetapi saya memang mengharapkan keadaan padang cukup baik kerana kita perlu mempamerkan aksi menarik. Namun kita tidak mahu menjadikan ia sebagai alasan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad Harimau Malaya di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Cheng Hoe dan pemain skuad itu, menyatakan kekecewaan mereka terhadap keadaan padang di Stadium Nasional itu selepas menang 2-0 ke atas Nepal pada aksi persahabatan, Ahad lalu.
Sementara itu, Cheng Hoe gembira apabila 25 pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan telah melaporkan diri pada hari ini selepas rehat dua hari, walaupun terpaksa memendekkan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.
“Sepanjang kem latihan (sejak 27 Mei), semua pemain yang kita panggil kali ini memberikan komitmen yang terbaik, sehingga menyukarkan tugas kami untuk memilih 23 pemain terakhir menentang Timor Leste. Tetapi apakah daya kerana kita hanya boleh mendaftarkan 23 pemain sahaja.
Cheng Hoe dijangka mengumumkan senarai akhir 23 pemain, esok.
“Saya juga ingin merayu kepada penyokong yang berada di sekitar lembah Klang supaya hadir memberikan sokongan di stadium kerana merekalah sentiasa menjadi pemain ke-12. Kita sedar bahawa ramai yang balilk ke kampung masing-masing untuk menyambut Hari Raya,” katanya.
Memandangkan kedua-dua perlawanan ini terpaksa dilangsungkan pada musim perayaan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberikan promosi beli satu percuma satu kepada penyokong, di mana tiket dijual pada harga RM30 untuk tempat duduk biasa, RM50 bagi grandstand dan RM5 bagi kanak-kanak.
Malaysia yang menduduki ranking ke-168 dunia, perlu mencatatkan kemenangan agregat ke atas Timor Leste untuk mara ke pusingan kedua kempen kelayakan itu, yang bakal menyaksikan pertembungan di antara 40 pasukan terbaik Asia untuk memburu kelayakan ke Piala Dunia 2022 di Qatar dan Piala Asia 2023 di China.
- Bernama

