Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Status Teong Kim masih teka-teki - Menteri
Diterbitkan:  Jun 27, 2019 4:37 PM
Dikemaskini: 8:37 AM

Status pelanjutan kontrak Lim Teong Kim sebagai Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) masih belum terjawab.

Ini berikutan, menurut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, keputusan muktamad mengenai perkara itu hanya akan diputuskan selepas pertemuan lanjut bersama Teong Kim dan pemegang taruh Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

“Perkara ini sudah dibincangkan tetapi untuk makluman lanjut kita akan maklumkan selepas ini. Sebab kita perlu berhubung dahulu dengan pihak beliau dan pemegang taruh lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Menandatangani Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) NFDP antara Majlis Sukan Negara (MSN), Kool Sport, Asia Pacific Sports dan Regent International School.

Terdahulu, Syed Saddiq mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu NFDP yang turut dihadiri Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Hamidin Mohd Amin.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal NFDP, Subahan Kamal sebelum ini memberi bayangan kontrak Teong Kim bernilai RM175,000 sebulan yang berakhir 31 Oktober ini, tidak akan dilanjutkan.

Ketika ditanya sama ada pihaknya sudah mempunyai calon seandainya kontrak Teong Kim tidak disambung, Syed Saddiq berkata: “Untuk saya jawab soalan tersebut saya kena pastikan perkara ini (keputusan dicapai) berlaku dahulu”.

Untuk rekod, Teong Kim mula dilantik sebagai Pengarah Teknikal NFDP pada 2013, dan kemudian memegang jawatan sebagai Pengarah AMD pada 2016.

Bagaimanapun, bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich itu ‘hilang kuasa’ dalam NFDP apabila tugasnya sebagai Pengarah Teknikal diambil alih Saad Ichalalene selepas penstrukturan semula NFDP dibuat pada Disember tahun lepas.

Ia susulan kegagalan Malaysia layak ke suku akhir Kejuaraan B-16 AFC 2018 sekali gus menutup peluang beraksi pada Piala Dunia B-17 2019.

Dalam perkembangan berasingan, jalinan kerjasama yang dimeterai antara MSN dan beberapa entiti menyaksikan MSN bakal menerima tajaan bernilai melebihi RM10.8 juta dalam tempoh lima tahun.

Tajaan itu merangkumi pelbagai keperluan asas latihan seperti bekalan bola bagi semua pusat latihan, pakaian pertandingan selain tajaan melibatkan keperluan pendidikan di AMD.

- Bernama

Lihat Komen
ADS