Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
'Pihak luar gagalkan AGM Majlis Paralimpik Malaysia'

Persatuan Sukan Orang Buta Malaysia (MBSA) mendakwa terdapat campur tangan pihak luar yang menggagalkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang ditangguhkan pada hari ini.

Presiden MBSA, Dr S Radha Krishnan berkata beliau agak terkejut dengan keputusan yang diumumkan oleh Timbalan Presiden MPM, John Ng, sambil mendakwa penangguhan berkenaan akan menjejaskan kredibiliti MPM, selain memberi kesan kepada persiapan atlet para negara menghadapi Sukan Para ASEAN 2019 di Filipina pada Januari depan.

“Kami seolah-olah tidak diberi peluang oleh MPM untuk menyuarakan pandangan pada mesyuarat hari ini, dan saya amat kecewa dengan cara mesyuarat ini dijalankan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas AGM berkenaan di Pusat Kecemerlangan Paralimpik, Kampung Pandan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Ditanya kemungkinan beliau akan bertanding jawatan Timbalan Presiden MPM, Radha menyerahkan kepada 24 ahli gabungan MPM untuk membuat keputusan sekiranya berminat mencalonkan nama beliau untuk bertanding semula.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung MPM, Siti Zaharah Abdul Khalid yang ditemui pemberita menegaskan pihaknya perlu akur dengan kehendak ahli gabungan yang bersetuju untuk penangguhan AGM berkenaan.

“Saya tidak boleh berikan sebarang komen lanjut kerana 24 ahli gabungan kami memutuskan untuk menangguhkan AGM ini dan kami perlu menghormati keputusan berkenaan,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS