Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Khairy akur keputusan tak dapat tanding presiden MPM

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin akur dengan keputusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) yang menyaksikan beliau gagal bertanding bagi merebut jawatan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

"Saya terima (keputusan) pencalonan baru tak diterima. Saya terima keputusan saya tidak dapat bertanding.

"Tapi kalau dibuka (pencalonan) saya akan hantar (borang) untuk buat pencalonan semula," katanya ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Sungai Buloh di Shah Alam, hari ini.

Khairy tidak layak bertanding bagi merebut jawatan berkenaan selepas gagal menepati tarikh tutup pencalonan.

Ini berikutan, keputusan PPS yang mendapati MPM terkhilaf berhubung tarikh tutup borang pencalonan yang disangkakan pada 15 Jun.

Selain itu, menurut PPS, keputusan Lembaga Eksekutif MPM menerima lima borang berkenaan boleh dipertikai kerana setiausaha agung MPM memaklumkan ia hanya diputuskan oleh presiden dan timbalannya sahaja tanpa merujuk anggota exco yang lain.

Selain Khairy, empat calon lain termasuk Timbalan Presiden, John Ng dan Setiausaha Agung, Siti Zaharah Abdul Khalid, serta dua calon lain juga bakal menerima nasib sama kerana gagal mengemukakan borang pencalonan mengikut tempoh ditetapkan.

Kemelut pemilihan MPM tercetus apabila Khairy dikatakan menghantar borang pencalonan pada 11.30 malam pada 15 Jun bersama John Ng dan tiga calon lain, sedangkan tarikh akhir yang tertera di borang pencalonan adalah pada 11.59 malam, 14 Jun.

Justeru, semalam, Presiden MASCA, Megat D Shahriman Zaharudin, yang juga calon presiden, mengemukakan notis semakan semula status kelayakan terhadap pencabarnya, untuk bertanding jawatan tertinggi badan induk itu.

Lihat Komen
ADS