Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Presiden Kafa sahkan tak jadi letak jawatan dalam Amanah

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Wan Abd Rahim Wan Abdullah mengesahkan beliau sudah menulis surat bagi meletak jawatan pengerusi Amanah Kelantan.

Bagaimanapun katanya, hasrat itu tidak diteruskan selepas dibantah rakan-rakan kepimpinan parti supaya bertahan sehingga tamat penggal 2017-2019 pada Oktober depan.

"Saya telah menulis surat untuk letak jawatan tetapi kawan-kawan tolak hasrat saya.

"Saya ada masa tidak sampai tiga bulan dan berakhir pada 5 Oktober dan Amanah negeri akan buat konvensyen bagi memilih kepimpinan baru, " katanya pada sidang di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Malaysiakini berhubung hasrat beliau untuk meletak jawatan sebagai pengerusi Amanah negeri selepas dipilih menerajui Kafa.

Pada Kongres Luar Biasa (EGM) Sabtu lalu, bekas speaker DUN Kelantan itu menewaskan pencabarnya Amril Aiman Abd Aziz bagi menggantikan posisi yang ditinggalkan Bibi Ramjani Ilias Khan yang meletak jawatan.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Wan Abd Rahim menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan dalam Amanah Kelantan itu kerana tidak mahu parti menerima tempias sekiranya sebarang isu membabitkan kepimpinannya dalam Kafa dibangkitkan kelak.

Bagaimanapun hasrat itu ditarik balik selepas mendapat bantahan oleh pimpinan akar umbi.

Sementara itu Wan Abdul Rahim berkata, hasrat untuk meletak jawatan dalam Amanah negeri itu dibuat bagi memberi tumpuan kepada Kafa.

"Saya juga dah dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa pemilihan Amanah dan tidak dibenarkan bertanding.

"Jadi jawatan akan berakhir 5 Oktober nanti sekali gus memberi peluang untuk saya bagi tumpuan terhadap Kafa," katanya yang juga pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).

Lihat Komen
ADS