Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
'Cari bakat bola sepak ke akar umbi, utamakan merit'
Diterbitkan:  Sep 14, 2019 5:11 PM
Dikemaskini: 9:13 AM

Sistem pemilihan pemain bola sepak negara dirombak bagi mengutamakan bakat baru yang berkelayakan berdasarkan meritnya dan bukan melalui sistem kuota pilihan wakil negeri seperti sebelum ini.

Pengarah teknikal Badan Pembangunan Bola Sepak Negar (NFDP), Saad Ichalelene dipetik akhbar New Straits Times berkata pencarian bakat kini dilakukan sehingga ke peringkat akar umbi.

“Saya masih ingat ketika mula-mula sampai di sini, pemilihan pemain dilakukan dengan sistem kuota di mana setiap negeri menghantar lima pemain untuk latihan berpusat dan pemilihan hanya akan dilakukan bermula dari sini.

“Tetapi, ada ketikanya pemain keenam dan ketujuh di sesebuah negeri adalah lebih baik daripada pemain terbaik kedua di negeri lain.

“Sistem pemilihan pemain secara kuota ini adalah bertentangan dengan sistem pemilihan pemain secara merit," katanya.

Menurut Saad pada ketika itu dia melihat sistem pemilihan di Malaysia berbeza dengan apa yang dilakukan di Eropah.

Bagi mengatasi perkara tersebut, Saad yang menggantikan tampuk pengurusan tertinggi NFDP daripada Lim Teong Kim pada penghujung tahun lalu menjelaskan mereka terpaksa menyusun semula bahagian cungkil bakat di NFDP.

“Ianya adalah perkara yang sangat besar untuk dilakukan,” katanya.

Saad yang juga merupakan bekas pemain Akademi Remaja Paris Saint Germain di Perancis itu turut merasakan bahawa adanya keperluan untuk lebih mengutamakan proses cungkil bakat dan pemilihan pemain melalui kejohanan peringkat sekolah di seluruh negara.

Dia turut menjelaskan begitu banyak perkara positif yang timbul daripada kancah bola sepak belia di negara ini dan menjelaskan Malaysia sangat beruntung kerana terdapat ramai individu yang mahukan penambahbaikan dalam bola sepak negara.

Kata Saad lagi, dia mahu memupuk cara permainan moden dan membentuk pemain muda berdasarkan ciri-ciri yang dirangka Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu memiliki keupayaan untuk berfikir, membuat keputusan dan menilai.

Lihat Komen
ADS