Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
2 gol Shahrel hidupkan peluang Perak ke suku akhir Piala M'sia
Diterbitkan:  Sep 15, 2019 8:35 AM
Dikemaskini: 12:35 AM

Penyerang kebangsaan, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi meledak dua gol untuk membantu Perak mengatasi Pahang 3-1 sekali gus meletakkan skuad The Bos Gaurus di landasan tepat dalam memburu slot ke pusingan suku akhir Piala Malaysia 2019.

Pada aksi Kumpulan C di Stadium Perak, Ipoh malam ini, Muhammad Shahrel tenang menanduk masuk dua gol pada pada minit ke-45 dan minit ke-47 untuk meletakkan Perak selesa mendahului 3-0 selepas pemain import dari Brazil, Ronaldo Henrique Silva menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-31.

Pahang, selaku pendahulu kumpulan yang telah mengesahkan tempat dalam kelompok lapan pasukan terbaik sebelum ini, berjaya mengurangkan defisit keputusan menerusi gol tunggal penyerang dari Nambia, Lazarus Kaimbi pada minit ke-86.

Kemenangan di laman sendiri itu membolehkan Perak menduduki tempat kedua dengan mengumpul lapan mata dan meninggalkan pencabar terdekat Pulau Pinang dengan perbezaan tiga mata selepas skuad kendalian Manzoor Azwira Abd Wahid itu tewas 0-2 kepada Sabah dalam satu lagi aksi Kumpulan C.

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah akhirnya berjaya mengutip tiga mata pertama dalam kempen musim ini selepas Maxsius Musa dan Rodoljub Paunovic masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-54 dan minit ke-82 untuk menceriakan penyokong tuan rumah.

Pada masa sama, saingan Kumpulan D semakin menarik dan sengit apabila Melaka, Selangor dan Felda United masing-masing mengumpul tujuh mata dengan hanya satu baki perlawanan perlu diharungi selepas aksi malam ini.

Di Stadium Shah Alam, Selangor mencatat keputusan seri ketiga berturut-turut apabila gagal memanfaatkan aksi di laman sendiri selepas terikat 1-1 berdepan Melaka.

Mohd Khyril Muhymeen Zambri menceriakan penyokong tuan rumah apabila meletakkan Selangor di depan pada minit ke-38, namun kegembiraan itu tidak kekal lama selepas pemain tengah Saiful Ridzuan Selamat menyamakan kedudukan tiga minit selepas babak kedua bersambung.

Dalam pada itu, Felda United berjaya meraih tiga mata berharga selepas menumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 1-0 pada perlawanan yang berlangsung sengit di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Bekas pemain sayap kebangsaan, S Chanturu menjadi wira skuad The Fighters menerusi gol tunggal perlawanan pada minit ke-59 sekali gus menghidupkan peluang pasukan mengintai slot ke pusingan suku akhir.

Aksi itu turut dicemari dua layangan kad merah oleh pengadil kepada pemain PDRM Patrick Ronaldinho dan penyerang Felda United Kei Ikeda yang mengutip kad kuning kedua pada malam ini.

Meskipun tewas, PDRM yang menghuni kedudukan tercorot kumpulan dengan mengumpul enam mata tetap mempunyai peluang mara ke peringkat seterusnya, namun perlu memenangi perlawanan terakhir berdepan Melaka, Rabu depan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS