PKNP FC tuntut MFL jelaskan sebab tangguh perlawanan kali kedua
PKNP FC akan menuntut penjelasan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berhubung penangguhan kali kedua pertemuan pasukan itu dengan PJ City dalam Kumpulan B Piala Malaysia 2019.
Kedua-dua pasukan pada mulanya dijadual bertemu pada Selasa lepas di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) di Perak, namun ditunda kepada semalam sebelum perlawanan itu dijadualkan semula pada Ahad ini di laman yang sama.
Pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim berkata pihaknya menerima arahan penangguhan perlawanan semalam dalam tempoh kurang 24 jam sebelum sepak mula berlangsung tanpa sebarang perbincangan khusus.
"Sebelum ini surat untuk penangguhan kali pertama yang dijadual pada 17 Sept lepas telah kita terima dan kita faham dengan situasi mereka, jadi kita bagi peluang untuk bermain pada 20 Sept (semalam).
"Cuma tak sampai 24 jam bila kami dah sampai sini, mereka pun dah sampai sini, penangguhan kedua telah berlaku. Sedangkan, dalam surat penangguhan pertama sebelum ini, MFL telah maklumkan bahawa tiada lagi penangguhan untuk kali kedua," katanya dalam sidang media di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Perak malam tadi.
MFL mengumumkan perlawanan antara kedua-dua pasukan semalam ditunda sehingga Ahad ini selepas menerima permohonan daripada PJ City kerana sebahagian besar pemain dan pegawai skuad The Phoenix itu dijangkiti wabak Influenza B.
Selain itu, Abu Bakar juga hairan dengan tindakan PJ City yang membawa pemain dan pegawai pasukan datang ke Manjung walaupun ada di antara mereka masih dalam tempoh kuarantin akibat wabak berkenaan.
"Kita sedikit keliru kerana Influenza B ini bukan demam biasa. Demam yang perlu dielakkan daripada orang yang tidak dijangkiti. Benda telah berlaku (penyakit) tetapi mereka bawa juga pemain-pemain tersebut ke Manjung," katanya.
Selain itu, Abu Bakar berkata meskipun persiapan pasukannya terjejas akibat perlawanan tertunda tersebut, namun beliau tetap akur atas semangat kesukanan dan arahan yang dikeluarkan MFL.
"Cuma, saya harapkan pada hari Ahad (22 Sept) ini kita akan dapat bermain dengan baik dan layak ke suku akhir," katanya.
- Bernama

