Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Atlet Sukan Sea 'korban' Deepavali demi negara
Diterbitkan:  Oct 18, 2019 10:04 PM
Dikemaskini: 2:04 PM

Dua atlet negara terpaksa melupakan sambutan Deepavali minggu depan dan mengharapkan pengorbanan itu berbaloi dalam misi memburu pingat di pentas Sukan Sea Filipina 2019, akhir bulan depan.

Biarpun Deepavali bakal disambut Ahad depan, namun ia tidak meluntur semangat juang atlet negara untuk meneruskan latihan dan menyertai kejohanan demi mengharumkan nama negara di pentas dunia.

Malah, ada atlet seperti atlet karate, A.Somanroy dan pemain badminton, M.Thinaah terpaksa melupakan kemeriahan sambutan serta berkumpul bersama keluarga dan rakan-rakan apabila menyertai kejohanan di luar negara sebagai persiapan akhir menghadapi Sukan Sea di Filipina.

Sukan SEA akan berlangsung dari 30 Nov hingga 11 Dis ini.

Somanroy, 21, ketika ditemui Bernama, menganggap Kejohanan Karate Remaja dan Kadet Dunia di Chile dari Rabu hingga Ahad depan lebih penting dari menyambut Deepavali.

“Kita memang fokus berlatih untuk kejohanan ini demi meraih pingat emas untuk membanggakan negara. Saya tidak dapat bercuti sebelum perayaan Deepavali kerana menjalani latihan setiap hari sebelum ke Chile,” katanya.

Beliau berkata kejohanan dunia itu akan menjadi penanda aras untuk mengukur prestasi sebenar sebelum menghadapi Sukan Sea.

Atlet dari Negeri Sembilan itu melahirkan perasaan syukur dan berterima kasih kepada ahli keluarganya yang sentiasa menyokong dan memahami masa yang lebih banyak ditumpukan kepada kariernya sebagai atlet kebangsaan.

Somanroy merupakan pemenang pingat emas acara 84 kilogram ke atas pada Kejuaraan Persekutuan Karate Asia Tenggara (SEAKF) 2019 di Bangkok.

Sementara itu, Thinaah juga turut akur apabila tidak berpeluang menyambut Deepavali bersama keluarga kerana dijangka berangkat ke Macau sehari sebelum hari perayaan itu untuk menyertai Terbuka Macau dari 29 Okt hingga 3 Nov ini.

“Deepavali adalah masa untuk bersama dengan keluarga...selalunya ramai saudara mara akan datang ke rumah dan paling istimewa ialah rendang ayam serta kari ikan yang dimasak oleh nenek saya.

“ Saya pasti akan merindui saat itu namun terpaksa berkorban demi negara,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS