Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Malaysia sasar 70 emas pada Sukan SEA 2019
Diterbitkan:  Nov 21, 2019 3:26 PM
Dikemaskini: 7:26 AM

Kontinjen Malaysia menyasarkan kutipan 70 pingat emas, 51 perak dan 105 gangsa dalam 52 daripada 56 acara yang akan disertai pada Sukan SEA ke-30 di Filipina, penghujung bulan ini.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sasaran 70 emas itu sekiranya berjaya dicapai, akan meletakkan Malaysia pada kedudukan empat terbaik daripada 11 negara ASEAN yang bertanding pada kali ini.

"Sekiranya sasaran ini berjaya dicapai, maka ia akan mengatasi pencapaian terbaik Kontinjen Malaysia di luar Kuala Lumpur, iaitu Sukan SEA 2007 Korat (di Thailand) dengan (kutipan) 68 emas," katanya pada sidang media selepas hadir pada majlis penyerahan bendera jalur gemilang pada Perhimpunan Akhir Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalannya, Steven Sim Chee Keong, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, dua Timbalannya, Nurul Huda Abdullah dan Ahmad Faedzal Md Ramli serta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Syed Saddiq memaklumkan empat sukan iaitu olahraga, gimrama, memanah dan boling padang, selain beberapa sukan baharu seperti sukan elektronik (Esports) dan sukan berhalangan (obstacle sports) dijangka menjadi penyumbang utama kepada kutipan pingat emas kontinjen negara pada Sukan SEA kali ini.

Syed Saddiq memaklumkan kontinjen negara akan diwakili seramai 773 orang atlet terdiri yang terdiri daripada 447 atlet lelaki dan 326 atlet wanita, selain 339 orang pegawai.

Daripada 773 atlet berkenaan, seramai 396 atlet merupakan muka baharu yang bertanding buat julung kalinya pada temasya sukan dwitahunan berkenaan.

"Seramai 322 orang atlet yang terpilih mewakili negara pada Sukan SEA kali ini adalah berumur 21 tahun. Jumlah ini tidak termasuk pemain bola sepak lelaki dan wanita yang akan dinamakan pada mesyuarat pengurus pasukan," jelas Syed Saddiq.

Atlet luncur air lelaki negara, Adam Yoong Hanifah,11, merupakan atlet termuda negara, manakala pemain pool negara Ibrahim Amir, 57 dari sukan billiard dan snuker, merupakan atlet tertua yang mewakili negara pada Sukan SEA 2019.

Pasukan polo merupakan wakil pertama negara yang akan memulakan saingan pada Sukan SEA 2019 di Padang Polo Miguel L. Romero pada 24 Nov ini.

Pada majlis berkenaan, Syed Saddiq turut menyaksikan penyerahan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) MSN berjumlah RM1,678 285 kepada 16 jenis sukan yang berjaya mengharumkan nama negara dalam beberapa kejohanan antarabangsa pada tahun ini.

Sukan Wushu merupakan penerima tertinggi dengan jumlah wang tunai sebanyak RM444,000 hasil kejayaan meraih dua emas, lima perak dan satu gangsa pada edisi ke-15 Kejohanan Wushu Dunia di Shanghai, China dari 20-24 Okt lalu, disusuli sukan tenpin bowling sebanyak RM360,000 manakala sukan para olahraga meraih sebanyak RM168,000.

Syed Saddiq turut menyerahkan bendera jalur gemilang kepada Megat Zulkarnain sebagai simbolik acara kemuncak pada majlis hari ini.

Untuk rekod, seramai 544 atlet serta 164 orang pegawai yang hadir pada Perhimpunan Akhir Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019 yang bermula sejak Selasa lepas dan berakhir hari ini.

Sukan SEA 2019 yang bermula pada 24 Nov ini akan berakhir pada 11 Dis, dengan melibatkan 56 acara di tiga kluster, iaitu Manila, Clark dan Subic.

- Bernama

Lihat Komen
ADS