Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Damian Yeo diumumkan secara rasmi presiden MUSA

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Damian Yeo Shen Li diumumkan secara rasmi sebagai presiden baharu Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) pada Kongres ke-64 persatuan itu di Ayer Keroh, Melaka.

Setiausaha Agung MUSA, ​​​​​​​​​​​​​​Farhan Ibrahim, membuat pengumuman tersebut pada kongres yang dihadiri oleh 46 perwakilan Kelab Gabungan MUSA serta Timbalan Presiden MUSA, Mohd Yusoff Mahadi, yang juga timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

MUSA, dalam kenyataan memberitahu, perkara itu selaras dengan artikel 40 Perlembagaan MUSA yang menyatakan sesiapa saja yang dipilih sebagai Ketua Menteri Melaka secara automatik adalah Presiden MUSA dan boleh melantik sesiapa saja yang dianggap sesuai sebagai presiden.

Terdahulu, Yeo menerajui pentadbiran persatuan berkenaan berkuat kuasa 1 Nov lalu selepas Ketua Menteri, Adly Zahari melepaskan jawatannya selama 20 bulan sebagai presiden persatuan bagi memberi fokus kepada tugas pentadbiran kerajaan negeri.

Turut diumumkan dalam kongres itu ialah pemilihan Naib Presiden MUSA yang baharu iaitu Noor Azman Rahman yang juga bekas Setiausaha Agung MUSA bagi menggantikan Harun Mohamad yang mengosongkan jawatannya.

Beliau menjadi satu-satunya calon yang menerima pencalonan melebihi pencalonan minima iaitu 30 peratus daripada perwakilan Kelab Gabungan MUSA.

-Bernama

Lihat Komen
ADS