Paling Popular
Terkini

Sukan Atlet Berkerusi Roda dan Kudung Antarabangsa (IWAS) di Nakhon Ratchasima di timur laut Thailand pada 22 hingga 28 Feb ini ditangguhkan kepada 2 April ekoran penularan jangkitan Covid-19.

Presiden Jawatankuasa Paralimpik Thailand, Chutinant Bhirombhakdi berkata, tarikh baharu edisi kedua Sukan Dunia IWAS itu ditetapkan pada 2 hingga 9 April ini, sebagai reaksi kepada kebimbangan umum terhadap faktor kesihatan berikutan penyakit virus tersebut.

Beliau berkata lebih 1,000 atlet dari 43 negara dijangka menyertai acara terbesar dalam kalendar IWAS itu.

"Saya yakin sukan dunia IWAS akan berlangsung pada April ... para atlet telah berlatih dengan bersungguh-sungguh untuk ini," katanya baru-baru ini.

Sementara itu, Presiden IWAS, Rudi Van Den Abbeele berkata, keputusan untuk menangguhkan temasya sukan itu dibuat melalui persetujuan bersama dengan Jawatankuasa Penganjur Tempatan sebagai maklum balas terhadap negara dan pasukan yang mengambil bahagian.

"Kami sememangnya sangat kecewa kerana kami perlu menangguhkan acara perdana kami. Bagaimanapun, kita mesti akur kepada negara-negara yang mempunyai kebimbangan yang sah terhadap kesihatan atlet mereka,” katanya dalam kenyataan.


-Bernama

Lihat Komen
ADS