Acara sukan paling berprestij di dunia, Sukan Olimpik yang sepatutnya berlangsung Julai ini di Tokyo, ditangguhkan ke tahun hadapan ekoran wabak Covid-19.

Perkara itu didedahkan seorang ahli Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Dick Pound.

“Dari segi maklumat yang dimiliki IOC, penangguhan itu sudah diputuskan.

“Bergerak ke hadapan, parameternya belum ditentukan, tetapi acara itu tidak akan bermula pada 24 Julai ini, itu saya tahu,” katanya seperti dipetik USA Today.

Pound yang juga merupakan pengerusi Pertubuhan Olimpik Britain sebelum ini turut membuat kenyataan bahawa United Kingdom berkemungkinan besar tidak menghantar pasukan ke Tokyo tahun ini.

Meskipun sebelum ini IOC berkata akan memutuskan hal itu dalam masa empat minggu, menurut Pound, pengumuman mengenai penangguhan itu akan diumumkan tidak lama lagi.

“Ia akan dilakukan secara berperingkat.

“Kami akan tangguhkan acara ini, dan mula menangani kesan-kesan besar yang timbul (daripada penangguhan),” katanya lagi.

Semalam, CNN turut melaporkan bahawa Kanada dan Australia menarik diri daripada Sukan Olimpik Tokyo.

[Baca berita asal]