Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
MFL potong gaji kakitangan 10-20% jika PKP dilanjut
Diterbitkan:  Apr 4, 2020 2:26 PM
Dikemaskini: 6:27 AM

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengambil keputusan untuk melaksanakan pengurangan gaji kakitangan antara 10 hingga 20 peratus bermula bulan ini, sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berakhir 14 April ini, dilanjutkan ke satu tempoh baru susulan penularan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Ab Ghani Hassan dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan berkenaan dicapai hasil mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah yang dipengerusikan Presiden Hamidin Mohd Amin, menerusi persidangan video Isnin lalu.

Ab Ghani menjelaskan keputusan tersebut terpaksa diambil sebagai langkah penjimatan, selepas pihak pengurusan mengambil kira setiap aspek dengan teliti, terutama kesan ekonomi yang melanda dunia akibat pandemik tersebut.

“MFL percaya langkah berkenaan adalah yang terbaik dalam usaha untuk terus menjaga kebajikan kakitangan, walaupun ia sesuatu yang berat untuk dilaksanakan oleh pihak pengurusan.

“MFL juga percaya semua kakitangan memahami keputusan yang diambil, dan akan terus bersama mengharungi detik mencabar ini demi bola sepak Malaysia,” kata Ab Ghani.

MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia sebelum ini mengambil keputusan menangguhkan semua aktiviti bola sepak di bawah kelolaan mereka sejak 16 Mac lalu, sebagai menghormati pelaksanaan PKP oleh kerajaan, dalam membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS