Liga Perdana Inggeris (EPL) sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk menyambung musim yang tergendala - ekoran ancaman Covid-19 - dengan cara yang berbeza sama sekali.

Caranya: mengadakan perlawanan secara tertutup dan tanpa penonton. Ia hanya disaksikan oleh orang ramai melalui siaran langsung di televisyen.

Bagi memastikan pemain dan pegawai mendapat semangat, cadangan juga dibuat agar pihak penganjur memainkan rakaman suara sorakan di dalam stadium.

Semalam, EPL menjelaskan mereka komited untuk menghabiskan perlawanan bagi musim ini dengan 16 daripada 20 pasukan mempunyai baki sembilan perlawanan dan sepuluh untuk selebihnya.

“Objektif kami masih kekal untuk menghabiskan musim 2019-2020 tetapi setakat ini semua tarikh hanyalah satu perancangan bergantung kepada perkembangan impak wabak Covid-19,” jelas EPL dalam satu kenyataan.

Difahamkan syarikat televisyen berbayar, Sky Sports dan BT memegang lesen untuk membuat siaran secara langsung untuk beberapa perlawanan bagi musim ini, yang digantung sejak 13 Mac lalu.

“Saya telah bercakap dengan EPL. Imej yang kurang baik akan terpalit sekiranya masyarakat yang lebih ramai tidak boleh mengakses siaran langsung itu, mengambil kira ia sebagai satu sukan utama di Britain,” kata Setiausaha Kebudayaan Britain, Oliver Dowden kepada AFP.

Akur jika terpaksa

Terdahulu, tarikh asal yang diura-urakan untuk menghabiskan baki perlawanan adalah 30 Jun ekoran kontrak kebanyakan pemain yang akan tamat pada tarikh itu, tetapi tiada kata putus diberikan mengenai tarikh itu.

Mengenai cadangan agar suasana perlawanan tetap bersemangat EPL menerima cadangan agar bunyi sorakan penyokong yang direkodkan dipasang sebagai motivasi kepada pemain.

“Boleh kita lakukan sesuatu dengan kerusi kosong yang berwarna biru? Boleh kita bawa masuk bunyi bising ke dalam stadium?

"Satu keadaan yang pelik (tanpa penonton) dan bukan bola sepak yang biasa kita saksikan, tetapi jika terpaksa, kita akur,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Brighton dan Hove Albion, Paul Barber kepada BBC.

Selain bola sepak, tenis, kriket dan lumba kuda juga dijangka kembali bersambung mengikut syarat yang ditetapkan oleh menteri, pegawai kesihatan awam England dan badan induk sukan.

Untuk rekod, liga bola sepak di Sepanyol, La Liga turut menggantung sesi latihan dan perlawanan untuk musim ini dengan 28 Mei dilihat sebagai masa terbaik untuk menyambung kembali perlawanan.