Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Gangguan seksual dalam sukan perlu ditangani - Awam

Keganasan berasaskan jantina (GBV), termasuk gangguan seksual dalam arena sukan Malaysia semakin membimbangkan dan perlu ditangani segera bagi membina ruang selamat kepada semua, kata Persatuan Pergerakan Wanita (Awam).

Presidennya, Premalosani Arivanathan, berkata berdasarkan penyelidikan dilakukan oleh Kolej Poly-Tech Mara terhadap 422 atlet pada 2017, sebanyak 15.9 peratus responden mengaku pernah mengalami gangguan seksual dalam sukan.

Separuh daripada atlet terbabit pernah mewakili negara dalam pertandingan antarabangsa.

Lebih mengejutkan, katanya, atlet lelaki lebih terdedah kepada isu itu kerana kajian menunjukkan 19 peratus daripada mereka pernah mengalami gangguan seksual berbanding 11 peratus pada atlet wanita.

“Kira-kira 28 peratus daripada mangsa terjejas dari segi fizikal dan mental, sekali gus mempengaruhi prestasi dalam sukan serta kerjaya dalam jangka panjang,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) di antara Awam dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) di Kuala Lumpur hari ini.

Premalosani berkata MOU berkenaan adalah langkah pertama untuk menangani isu GBV seperti gangguan seksual, rogol dan keganasan rumah tangga.

Ia dijalankan dengan memberi latihan kepada atlet, jurulatih dan pegawai selama setahun.

Sementara itu, Premalosani mendedahkan 191 laporan mengenai GBV diperoleh melalui talian Telenita sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas, dan ia menunjukkan peningkatan mendadak.

“Berbanding sebelum ini, Awam hanya menerima 195 laporan mengenai kes GBV pada 2019.

"Malah pada 2017 hingga 2019, kami menerima purata 100 hingga 150 kes setahun, tapi tahun ini, kami menerima 190 kes dalam tempoh enam bulan,” katanya.

Sementara itu, Presiden MPM Megat D Shariman Zaharudin berkata badan induk sukan para itu bangga kerana menjadi organisasi sukan pertama bekerjasama dengan Awam untuk menangani isu gangguan seksual tanpa mengira jantina.

“Inisiatif ini diambil demi melindungi dan memastikan keselamatan semua pihak yang terlibat dalam pergerakan sukan para di Malaysia, termasuk atlet, jurulatih, pengurus pasukan, pegawai teknikal dan pentadbir persatuan.

“MPM dan Awam bersependapat bahawa gangguan seksual amat penting untuk dibincangkan secara terbuka walaupun agak sensitif bagi golongan wanita dan kurang upaya,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS