Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
'Allah bersama kamu....'
Diterbitkan:  Oct 25, 2020 8:04 PM
Dikemaskini: 12:04 PM

Apakah hantaran pertama dimuat naik oleh Sang Helang dari Dagestan selepas menundukkan lawannya awal pagi tadi?

Dia mengucapkan nama Allah sambil tidak lupa memberikan dedikasi kepada arwah bapanya yang meninggal baru-baru ini.

Dalam kemas kini di Instagramnya, Khabib Abdulmanapovich Nurmagomedov menulis: "Allah bersama kamu, tiada sesiapa yang dapat mengalahkan kamu, tiada siapa".

Ia adalah hantaran yang dimuat naik hanya beberapa jam selepas Khabib 'menidurkan' lawannya dari AS, Justin Gaethje, dalam perlawanan yang berlangsung di Abu Dhabi.

Sejurus perlawanan ditamatkan Khabib, 32, kelihatan sujud di tengah gelanggang dan kemudian dilihat mengalirkan air matanya.

Mengetepikan persaingan yang baru berakhir, Gaethje menghampiri atlet digelar Sang Helang itu dan memujuknya dan memberikan kata-kata semangat.

Khabib - yang memenangi semua 29 pertandingan seni bela diri campuran (MMA) yang disertainya sebelum ini - kemudian membuat kejutan apabila mengumumkan persaraan.

Media melaporkan sebelum menentang Gaethje, Khabib berjanji kepada ibunya dia tidak akan terus beraksi di gelanggang tanpa bapanya, Abdulmanapovich Nurmagomedov, di sini.

Untuk rekod, Abdulmanap, 57, menghembus nafas terakhir pada Julai lalu akibat dijangkiti Covid-19.

"Apabila UFC menghubungi saya untuk mengatur perlawanan (menentang Gaethje), saya berbincang dengan ibu selama tiga hari.

"Dia tak mahu saya bertarung tanpa ayah, tapi saya berjanji kepada ibu, perlawanan ini adalah yang terakhir. Sekarang saya menunaikan janji saya," katanya.

Dalam hantaran di Instagram itu juga Khabib tidak lupa memberikan doa kepada Abdulmanap.

"Terima kasih, ayah, atas segala-galanya. Kamu mengajar saja sepanjang hidup. Semoga Allah mengurniakan syurga tertinggi buat kamu," katanya.

Setakat jam 8 malam ini hantaran Khabib itu disukai lebih 5.6 juta orang.

Lihat Komen
ADS